Remaja 16 tahun direman 6 hari bantu siasatan kematian pelajar di asrama

Seorang pelajar berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan kematian pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis juga sedang meneliti semua fakta dan bukti bagi menentukan punca dan motif sebenar kejadian,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 8 malam tadi di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah.
“Polis ingin memaklumkan satu kejadian mendatangkan cedera terhadap seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun.
“Mangsa dikatakan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.”
Terdahulu, keluarga mangsa mendakwa pelajar terbabit dipukul di asrama sekolah, namun dakwaan itu belum disahkan polis.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat belum disahkan atau menularkannya sehingga boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga pelajar.
Tegasnya, polis memandang serius sebarang kejadian keganasan membabitkan pelajar, khasnya mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Keutamaan pihak polis untuk memastikan siasatan dijalankan secara profesional, menyeluruh dan berdasarkan bukti bagi memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya yang menyeru individu mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.