Wanita sembunyi kelahiran bayi dipenjara 3 bulan, denda RM5,000

Seorang pembantu kedai makan dipenjara tiga bulan dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran anaknya dengan membuang mayat bayi itu ke dalam longkang.
Majistret Nur Athirah Hashim turut memerintahkan Nur Ain Adilin Mohd Rofiza, 23, menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Wanita itu didapati sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi, dengan cara membuang mayat bayi berkenaan ke dalam longkang.
Kesalahan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan itu dilakukan pada kira-kira 10 malam, 15 Okt, di Perumahan Awam Kos Rendah, Padang Setengge, di sini.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nor Aziah Bunawan memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum berbentuk denda, dengan mengambil kira usia tertuduh yang masih muda serta tindakannya yang didakwa berpunca daripada keadaan panik ketika kejadian.
“Pengakuan bersalah OKT (orang kena tuduh) juga telah menjimatkan masa mahkamah dan pihak pendakwaan, serta OKT menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli memohon hukuman penjara dikenakan, dengan mengambil kira faktor kemanusiaan kerana kesalahan itu membabitkan bayi tertuduh sendiri, selain hukuman setimpal perlu diberikan sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Sebelum ini, Ketua Polis Hulu Terengganu, Sharudin Abdul Wahab, dalam kenyataan memaklumkan mayat bayi tanpa kepala dan sebelah tangan ditemukan di dalam longkang di kawasan perumahan Kampung Padang Setengge pada 16 Okt lalu.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati bayi berkenaan cukup bulan, namun jantina serta sama ada bayi itu masih hidup atau telah meninggal dunia ketika dilahirkan, tidak dapat dipastikan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.