‘PM bukan pendakwa raya’, Azalina minta Rayer hormat kebebasan pendakwaan AG

Azalina Othman Said membidas Ahli Parlimen DAP RSN Rayer kerana menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memastikan peguam negara (AG) mendakwa semula timbalannya Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi.
Ketua penerangan Umno yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) berkata, Perlembagaan memperuntukkan kuasa kepada AG untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan.
“Perdana menteri bukan pendakwa raya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keputusan pendakwaan hendaklah dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang, fakta dan bukti, bukan tekanan atau kehendak politik
“Prinsip kebebasan pendakwaan mesti dihormati dalam amalan politik, bukan sekadar dalam cadangan pembaharuan institusi,” katanya.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 semalam, Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong, mempersoalkan pengguguran pertuduhan terhadap Zahid dan menggesa Putrajaya mengelakkan pendakwaan terpilih dalam usaha memerangi rasuah.
Pada September 2023, Zahid diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi semua 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi sementara menunggu siasatan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Januari lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, kemudian berkata kes itu telah diselesaikan ‘sekali dan untuk selamanya’ selepas pihak pendakwaan meneliti enam representasi dikemukakan oleh pasukan pembelaan Zahid, sambil menyatakan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu ‘tidak boleh didakwa lagi’.
Azalina berkata, dakwaan pilih kasih perlu dinilai berdasarkan bukti dan mana-mana pihak berhak mempersoalkan keputusan pendakwaan serta menuntut penjelasan munasabah.
“Namun, perbezaan keputusan antara kes tidak dengan sendirinya membuktikan berlaku campur tangan politik atau layanan berat sebelah,” katanya.
Beliau berkata, AGC juga sudah memberikan penjelasan mengenai alasan permohonan DNAA dan keputusan NFA.
“Kritikan terhadap sesuatu keputusan perlu disokong oleh fakta dan asas yang jelas, bukannya andaian atau tekanan politik semata-mata,” katanya.
Katanya, tiada sesiapa yang harus diberikan kekebalan daripada undang-undang hanya kerana jawatan atau kedudukan politik.
“Pada masa sama, mana-mana individu termasuk pemimpin Umno berhak mendapat proses undang-undang yang adil dan tidak boleh dijadikan sasaran pendakwaan semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik,” katanya.
Menurutnya, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam memulakan prosiding semakan kehakiman.
“Prosiding berkaitan masih berjalan dan persoalan undang-undang yang dipertikaikan hendaklah diputuskan oleh mahkamah. Desakan politik supaya perdana menteri menentukan tindakan pendakwaan bukan pengganti kepada proses tersebut,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.