Antara menang mahkamah dan menang politik


Kita kini berdepan dengan moraliti baharu. Biasanya seseorang yang didapati bersalah atau kalah saman maka pihak itu dikatakan kalah dan tidak berada dalam kebenaran moral. Namun demikian, perkara terbalik kini mungkin terjadi apabila pihak kalah dilihat sebagai mangsa penghakiman dan ia juga dilihat sebagai pejuang kaum atau agama. Saya akan membentangkan dua kajian kes dalam hal ini.
Kajian kes pertama adalah kes saman Teresa Kok daripada DAP ke atas Dr Akmal Saleh daripada Umno yang berakhir dengan kemenangan mahkamah kepada Kok dengan perintah supaya Akmal membayar RM300,000. Manakala kes kedua adalah saman Kok, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng ke atas Siti Mastura Muhammad daripada PAS yang berakhir dengan perintah mahkamah supaya wakil rakyat PAS itu membayar RM850,000. Jelas dalam satu perspektif DAP menang 2-0 dan PAS serta Umno tewas teruk. Namun, bagaimana pula perspektif politik? Ini yang menarik, tuan-tuan. Dalam bacaan saya DAP kalah 0-2 manakala PAS menang 1-0 dan Umno menang 1-0. Pelik kan? Tak juga, ia adalah politik ala Melayu.
Dalam kes pertama, Akmal didapati bersalah menghina Kok sehingga menyifatkan beliau sebagai musuh Islam. Kita semua dengan jelas dapat membaca sendiri kata-kata kasar Akmal dengan penggunaan ‘nyonya tua’ serta nak bagi cop halal pada dahinya. Hakim mahkamah telah menyimpulkan Akmal bertindak di luar daripada adab perbezaan pendapat dan debat politik kepada sesuatu yang membahayakan masyarakat, sefaham saya. Maka, Akmal diperintahkan membayar Kok RM300,000.
Maka, timbullah keesokannya gambar Akmal dengan nada sedih duduk termenung depan kolam ikan tilapianya sambil mengungkap untuk menjual motosikal dan ikannya melalui lelongan supaya dapat membayar Kok. Diberitakan hanya beberapa jam sahaja beliau dapat mengutip lebih RM40,000 ke dalam akaun peribadinya. Namun demikian, beliau berkeras tidak mahu orang menderma dan masih mahu menjalankan lelongannya seperti dibuat oleh sahabat Umno lain, Jamal Yunos. Kok nampaknya meraih banyak kekayaan dengan samannya yang lumayan. Jadi, soalannya bagaimana pula dikatakan DAP kalah politik dan Umno menang pula dalam hal ini? Sabar, tuan-tuan, kita ulas kes kedua pula.
Dalam kajian kes kedua, kita berdepan dengan kenyataan Mastura yang memfitnah Guan Eng dan Kit Siang sebagai sepupu kepada Lee Kuan Yew. Walaupun jelas pangkal nama Lim dan Lee berbeza entah macam mana seorang yang bergelar PhD tidak faham akan nama orang Cina. Bila dituduh memfitnah, Mastura mengemukakan ‘bukti’ daripada buku kempen Barisan Nasional. Tetapi, oleh kerana buku itu tiada nama penulis maka sukar untuk dibawa bukti kerana tiada badan yang nak menjawab. Mastura sepatutnya tidak meletakkan kredibiliti yang tinggi kepada suatu sumber yang memang tugasnya berperang politik. Dalam peperangan, anything goes asalkan menang. Maka, menanglah orang DAP dan Mastura berdepan pembayaran yang bukan kepalang sedikit; hampir RM1 juta. Nasib baik, PAS menggerakkan partinya dengan membuat gerakan ‘derma jihad’ pada keseluruhan jentera. Surat yang ditulis seperti tidak mengaku kesalahan tetapi membuat episod itu sebagai ‘perjuangan Islam’. Maka, dalam kurang lebih seminggu, wang sejumlah banyak itu dapat dikutip dan terus diserahkan kepada pihak peguam. Memang PAS cukup hebat dan saya pun mengagumi parti tersebut yang berjaya mengutip dengan pantas. Hari ini, dah lebih satu bulan, wang RM50 juta belum siap Umno kutip lagi, dan entah bila Najib Razak dapat pulang ke pangkuan keluarga. Jadi, soalannya bagaimana pula dikatakan yang DAP kalah politik dan PAS menang pula?
Begini, saya lihat moral orang Islam dan Melayu daripada kajian kes kedua-duanya. Dalam kes Akmal, penyokong Umno dan Akmal yang saya anggap semuanya Melayu tidak mempunyai pandangan bahawa ada kesalahan pun apabila Akmal bercakap kasar dan membuatkan Kok seperti seorang musuh Islam. Ramai orang Melayu sudah selesa dengan naratif DAP musuh Melayu dan Islam, jadi tidaklah surprise, yang penyokong Akmal masih menganggap Akmal sebagai the hero dan Kok sebagai the villain. Dunia dah terbalik agaknya di mana yang mengasari dianggap betul dan yang dikasari dianggap tidak betul. Jadi, apabila lelongan atau derma kilat kepada Akmal mungkin terkutip dalam kurang lebih seminggu, kita akan mendapat satu moraliti politik yang baharu bahawa untuk berjuang kita kena kasar dan menuduh sebarang apa pun as long as it works. Itu nampaknya adab baharu dalam politik Melayu. Jadi, sah Akmal lagi popular dan Kok serta DAP lagi lebih dibenci Melayu. So, Akmal menang, Kok kalah dalam politik ‘Malaysia boleh’.
Dalam kajian kes kedua, terdapat moral lebih berat lagi yang diterima pakai oleh orang Melayu. Dengan bukti cepatnya koleksi ‘derma jihad’ maka jihad Islam dah masuk menyokong fitnah yang disahkan pengadilan mahkamah dan pengadilan umum. Tetapi, oleh kerana sayangnya Melayu kepada agama Islam dan parti yang menempik sebagai pejuang nombor wahid Islam maka fitnah kepada orang bukan Islam seperti macam tak ada nilai langsung dari aspek dosa dan pahala. Malah, silap hari bulan membantu mangsa saman DAP mungkin dianggap mendapat pahala dengan menderma wang ringgit yang sepatutnya boleh diberi makan anak beranak atau fakir miskin. Ini bukan sahaja suatu evolusi moral Melayu tetapi ia melangkaui kepada nilai Islam; menyokong fitnah untuk membantu perjuangan Islam. Oleh yang demikian saya membuat deklarasi bahawa PAS-Mastura menang dan DAP bertiga kalah dalam politik ala Islam di Malaysia.
Paling menarik juga bagi saya, kes Jamal tidak mendapat bantuan daripada penyokong Umno maka beliau kekal tewas mahkamah dan tewas politik Melayu sebab tiada derma kilat untuknya. Nampaknya, setelah 40 tahun saya mengikuti politik Islam di Malaysia, baru kini saya dapat lihat perkembangan moral ‘Islam’ baharu didikan dua parti besar Melayu. Syabaslah saya ucapkan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.