Kontraktor menang tuntutan RM1.93 juta projek LGM

Mahkamah Rayuan memerintahkan KLIA Associates Sdn Bhd (KLIAA) dan KLIA Consultancy Services Sdn Bhd (KLIACS) membayar RM1.93 juta kepada sebuah syarikat pembinaan bagi wang tahanan tertunggak berkaitan projek Pusat Kecemerlangan Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Sungai Buloh, Selangor, pada 2017.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Lim Chong Fong membenarkan rayuan Koridor Padu Sdn Bhd terhadap kedua-dua syarikat yang beroperasi sebagai konsortium KLIAA-KLIACS.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua syarikat membayar RM1,933,606.23 kepada Koridor Padu, selain kos RM30,000.
Dalam keputusan pada 2 Nov lalu, mahkamah memutuskan konsortium itu tidak boleh menggunakan perjanjian rakan pelaksana projek (PDP) yang dimeterai dengan LGM sebagai alasan untuk menafikan hak Koridor Padu terhadap wang tahanan berkenaan.
Mahkamah berkata, Koridor Padu bukan pihak dalam perjanjian PDP itu, justeru syarat-syaratnya tidak boleh digunakan untuk menafikan atau menjejaskan hak syarikat pembinaan tersebut menerima bayaran berkenaan.
Bagaimanapun, panel itu menolak rayuan Koridor Padu terhadap LGM dan memerintahkan syarikat berkenaan membayar kos RM30,000 kepada badan berkanun itu.
Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati konsortium KLIAA-KLIACS bukan prinsipal atau ejen LGM, sebaliknya bertindak sebagai kontraktor bebas berdasarkan perjanjian yang dimeterai, manakala LGM merupakan pemilik projek.
Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Ong Chee Kwan dan Ahmad Shahrir Salleh.
Pertikaian bermula selepas Koridor Padu dilantik pada Mac 2017 untuk melaksanakan kerja pembinaan di bawah kontrak utama bernilai RM216 juta bagi projek Pusat Kecemerlangan LGM di Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Sungai Buloh.
Sebelum projek bermula, LGM melantik KLIAA dan KLIACS sebagai rakan pelaksana projek menerusi perjanjian PDP. Kedua-dua syarikat itu kemudian membentuk konsortium KLIAA-KLIACS.
Bagaimanapun, kontrak utama ditamatkan pada Disember 2017, sekali gus mencetuskan pertikaian mengenai hak dan tanggungjawab pihak terlibat mengikut kontrak, termasuk bayaran yang perlu dijelaskan, jaminan pelaksanaan serta wang tahanan yang dipotong daripada bayaran projek.
Susulan itu, Koridor Padu memfailkan saman terhadap LGM dan kedua-dua syarikat berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Okt 2020.
Mahkamah Tinggi menolak tuntutan Koridor Padu pada 19 Mei 2025, menyebabkan syarikat itu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan.
Koridor Padu diwakili peguam Muizzuddin Badruzzaman dan Sarah Yasmin Khalid, manakala LGM diwakili firma guaman Firoz Julian.
KLIAA dan KLIACS pula diwakili firma guaman Shukor Baljit & Partners.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.