BN-PN serah kerusi kepada MCA kerana faktor boleh menang

Faktor boleh menang serta hasil kajian teliti di lapangan menjadi asas keputusan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyerahkan dua lagi kerusi tambahan kepada MCA untuk ditandingi pada PRN Melaka.
Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh, berkata penyerahan Kota Laksamana dan Bandar Hilir itu dimuktamadkan atas semangat muafakat BN dan PN, serta kepentingan bersama demi memastikan kerusi terbabit ditandingi oleh parti yang mempunyai potensi paling tinggi untuk menang.
Dengan keputusan itu, MCA kini bertanding di empat kerusi DUN, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang ditandingi BN sebanyak 23 kerusi.
“Itu atas rundingan bersama, kepentingan bersama dan melihat kajian yang telah dibuat adalah lebih baik diserahkan kepada parti yang lebih berpotensi untuk memenangi kawasan berkenaan.
“Ia dipersetujui kedua-dua pihak untuk diserahkan kepada MCA,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang di Masjid Tanah.
Menepis dakwaan keputusan saat akhir itu didorong oleh desakan daripada MCA, Ab Rauf menjelaskan perkara itu langsung tidak berbangkit kerana persefahaman telah dicapai secara harmoni.
Beliau berkata kematangan BN yang terjalin sejak lebih tujuh dekad membolehkan sebarang agihan kerusi diselesaikan menerusi pendekatan musyawarah.
“Itu tidak perlu diperbahaskan kerana kita telah menyelesaikan secara kaedah berkeluarga, dan kebersamaan kita sudah lebih 70 tahun,” katanya.
SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal pada 10 Nov.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.