Fokus usaha kerjasama Umno, kata mursyidul am PAS selepas PN digantung

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menggesa kepimpinan parti itu memberi tumpuan kepada usaha mencapai kerjasama dengan Umno dalam PRN Melaka susulan penggantungan Perikatan Nasional (PN).
Hashim berkata kepimpinan PAS Pusat perlu meneruskan rundingan dengan Umno bagi membentuk kerjasama dan kedua-dua parti perlu mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan perpecahan antara mereka.
Beliau berkata kejayaan membentuk kerjasama PAS-Umno dalam PRN Melaka akan menjadi langkah penting untuk mengembangkannya ke PRU16.
“Sekarang adalah masa terbaik perpaduan PAS dan UMNO serta suburkan kerjasama tersebut.
“Pada masa ini, berkaitan penggantungan PN, tunggu dan lihat dengan fokus ketika ini, kerjasama atau penyatuan antara PAS dan UMNO
“Kepemimpinan perlu utamakan kepentingan ummah bukan peribadi dalam merealisasikan penyatuan ini. Kerjasama Pas dan Umno memberi manfaat kepada seluruh masyarakat khususnya orang Melayu di negara ini,” katanya, menurut Utusan Malaysia.
Hashim, yang mempengerusikan Majlis Syura PAS, berkata pemimpin kedua-dua pihak perlu mengetepikan ego masing-masing, khususnya dalam rundingan pembahagian kerusi.
Barisan Nasional (BN) dijangka mengadakan rundingan dengan bakal rakan kerjasama minggu depan. Gabungan yang diterajui Umno itu masih membuka pintu kepada PN dan Pakatan Harapan, walaupun Pengerusi BN Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan hasrat gabungan pemerintah negeri itu untuk bekerjasama dengan PN dalam PRN Melaka.
Zahid berkata demikian selepas kerjasama BN-PN memperoleh majoriti dua pertiga dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.