Bimbang disabotaj, Ramkarpal persoal status Umno sebagai sekutu PH

Timbalan Setiausaha Agung DAP Ramkarpal Singh mempersoalkan kemungkinan Umno mensabotaj Pakatan Harapan (PH) pada PRU akan datang, sambil menggesa kerjasama politik antara kedua-dua parti dinilai semula.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata tindakan Umno kebelakangan ini, khususnya desakan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani tahanan rumah, menimbulkan persoalan serius sama ada parti itu masih boleh dianggap sekutu politik PH.
Pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini berulang kali menegaskan gabungan itu akan kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga Parlimen dibubarkan menjelang PRU16.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PH mencabar BN yang diterajui Umno supaya meninggalkan kerajaan susulan hubungan kedua-dua gabungan itu yang semakin tegang di peringkat persekutuan.
Hubungan PH dan BN semakin keruh selepas BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan dan Melaka, yang menyaksikan PH mengalami kekalahan besar.
“Saya rasa sudah tiba masanya kita menilai semula hubungan dengan Umno,” katanya ditemui pada majlis rumah terbuka Deepavali DAP Pulau Pinang.
“Adakah Umno masih kawan kita atau sudah menjadi lawan? Kita perlu buat keputusan. PRU mungkin diadakan dalam tempoh enam hingga 12 bulan lagi. Adakah kita akan disabotaj Umno?”
Kenyataan Ramkarpal itu dibuat ketika hubungan DAP dan Umno semakin tegang, dengan Adun Pantai Jerejak, Fahmi Zainol dari PKR turut mempersoalkan mengapa Umno masih dikekalkan dalam kerajaan Pulau Pinang.
Semalam, Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow mempertahankan kerjasama itu dengan menegaskan persetujuan antara PH dan Umno perlu dihormati sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.
Beliau turut mengingatkan Fahmi bahawa PKR sendiri bekerjasama dengan Umno di peringkat persekutuan.
PH Pulau Pinang dijadual mengadakan mesyuarat pada 28 Nov bagi membincangkan hubungannya dengan Umno.
Adun Sungai Acheh Rashidi Zinol, satu-satunya wakil Umno dalam pentadbiran negeri dan memegang jawatan exco.
Dalam pada itu, Ramkarpal menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunaikan janji reformasi sebelum PRU16.
Antaranya termasuk mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri serta memberikan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.