Cabar tahanan rumah Najib boleh cetus polemik, Wan Rosdy beritahu Badan Peguam

Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail menyeru Badan Peguam tidak meneruskan tindakan mencabar keputusan Lembaga Pengampunan berhubung tahanan rumah Najib Razak.
Beliau yang juga menteri besar Pahang berkata perkara itu boleh mencetuskan polemik serta menjejaskan penghormatan institusi diraja.
Katanya, pengampunan bersyarat bagi kes SRC International menerusi kaedah tahanan rumah dibuat melalui saluran Perlembagaan dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, selepas melalui proses pertimbangan pihak berautoriti.
“Justeru, keputusan yang dibuat melalui saluran Perlembagaan dan mendapat perkenan diraja sewajarnya dihormati semua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Selasa lalu, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Permohonan itu menamakan Najib, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, ketua pengarah penjara serta menteri undang-undang dan reformasi institusi sebagai responden.
Dalam pada itu, beliau turut membidas hantaran media sosial bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, yang didakwa memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan dan menyentuh kedudukan Agong.
Wan Rosdy menggesa pihak berkuasa menyiasat hantaran Tony Pua secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya, sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang.
Beliau berkata institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai kedudukan serta peranan jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekehkan institusi diraja atau memainkan sentimen 3R sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara,” katanya.
Semalam, dalam hantaran di Facebook, Pua ada menyentuh mengenai kuasa prerogatif Agong dalam pengampunan bersyarat Najib, selain membangkitkan segala pertanyaan dan persoalan wajar diajukan kepada pihak istana.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.