Dakwaan projek tak siap ‘peluru sesat’ PRN Melaka, kata Rauf

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh menyifatkan dakwaan berhubung projek pembangunan tidak siap di negeri itu sebagai ‘peluru sesat’ yang dibangkitkan dalam kempen PRN Melaka.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu berkata, dakwaan lebih 50 projek pembangunan masih bermasalah tidak menggambarkan perkembangan terkini kerana sebahagian besar projek telah diselesaikan kerajaan negeri.
“Dalam kempen pilihan raya ini, banyak beri peluru-peluru sesat ini.
“Kalau tengok 2025 memang ada 51 tetapi perjalanan itu telah kita uruskan,” katanya dalam temu bual FMT.
Baru-baru ini, Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar, menggesa Rauf menjelaskan status 55 projek pembangunan yang didakwa masih bermasalah di Melaka.
Mengulas lanjut, Rauf berkata berdasarkan maklumat Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen), sebanyak 571 daripada keseluruhan 588 projek membabitkan kerajaan negeri dan persekutuan disiapkan, bersamaan kira-kira 97%.
Tegasnya, tidak tepat untuk menganggap semua 51 projek yang direkodkan pada 2025 sebagai terbengkalai atau masih belum bermula.
Menurutnya, beberapa projek bermasalah turut diwarisi daripada pentadbiran terdahulu dan menjadi antara perkara diberi perhatian sejak beliau mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2023.
Tegasnya, tidak tepat untuk menganggap semua 51 projek yang direkodkan pada 2025 sebagai terbengkalai atau masih belum bermula.
Antara projek bermasalah berjaya diselesaikan ialah Planetarium Melaka menerusi kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang akan akan digunakan sebagai kampus kecerdasan buatan (AI) pertama di negeri berkenaan.
Projek Arab City tak guna duit kerajaan
Mengulas dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, berkait projek Arab City di Pulau Melaka yang terbengkalai sejak lebih sedekad, Rauf berkata tiada dana kerajaan digunakan sebaliknya menggunakan modal syarikat swasta.
“Saya mahu membetulkan fakta pembangunan itu tidak menggunakan dana kerajaan. Syarikat berkenaan membeli tanah tersebut dan memajukan berdasarkan keupayaan mereka sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tetap memantau keadaan kawasan berkenaan bagi memastikan ia tidak terus terbiar tanpa pembangunan.
Isnin lalu, Adly membangkitkan projek Arab City sebagai antara pembangunan lama yang memerlukan penjelasan mengenai kedudukan aset dan hala tuju pemulihannya.
Dilaporkan Sinar Harian, bekas ketua menteri itu menggesa kerajaan negeri mendedahkan secara telus status projek terbengkalai terbabit termasuk jumlah perbelanjaan, pihak bertanggungjawab dan perancangan pemulihan.
Arab City mula dibangunkan pada 2009 ketika pentadbiran BN dengan nilai pembangunan keseluruhan dilaporkan kira-kira RM1.2 bilion bagi tiga fasa.
Projek berkonsepkan Asia Barat itu dirancang sebagai pusat perdagangan dan pelancongan, merangkumi bazar, restoran, muzium serta kemudahan komersial lain.
Bagaimanapun, projek yang dijadualkan siap pada 2012 gagal disempurnakan dan terbiar selama lebih sedekad.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.