Tuntutan Tasek Gelugor boleh cetus perebutan kerusi PAS dalam PN

Desakan akar umbi PAS supaya parti itu bertanding di Tasek Gelugor mungkin menjadi permulaan kepada tuntutan terhadap lebih banyak kerusi dianggap berpotensi dimenangi pada PRU16, kata penganalisis.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, tuntutan sedemikian lazimnya bermula di peringkat akar umbi sebelum dibawa ke platform lebih tinggi apabila desakan semakin kuat.

“Desakan ini sebenarnya boleh difahami sebagai asas permulaan tuntutan PAS kepada kerusi yang mungkin mereka berpandangan akan menang dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, tuntutan itu boleh diperluas melalui muktamar atau platform parti lain sebelum menjadi asas rundingan PAS mendapatkan kerusi berkenaan.
Kelmarin, PAS cawangan Lahar Yooi mendesak parti bertanding di Tasek Gelugor yang kini diwakili Naib Presiden Wawasan, Wan Saiful Wan Jan, malah mengugut menutup bilik operasi dan memboikot PRU16 jika calon bukan daripada PAS.
Mazlan berkata, sejarah menunjukkan PAS pernah bertanding di kerusi sebelum itu diperuntukkan kepada parti rakan apabila melihat peluang untuk menang.
Beliau mengambil contoh hubungan PAS dengan PKR pada 2013, apabila PAS bertanding di kawasan PKR seperti Damansara dan Sungai Acheh di Pulau Pinang.
Katanya, tuntutan terhadap kerusi lain perlu diberi perhatian kerana rundingan pembahagian kerusi PRU16 boleh menjadi cabaran bukan sahaja antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, tetapi juga dalam PN sendiri.
Menurutnya, perkara sama berpotensi berlaku antara PAS dan Wawasan, yang mungkin melihat sebahagian kerusi pernah dimiliki Bersatu sebagai kawasan yang wajar ditandingi.
Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata isu Tasek Gelugor membuka persoalan lebih besar mengenai pihak yang menentukan pembahagian kerusi PN, sama ada kepimpinan pusat atau akar umbi.

Katanya, desakan PAS Lahar Yooi termasuk ancaman menutup bilik operasi dan memboikot pilihan raya menunjukkan isu itu bukan lagi sekadar perebutan satu kerusi.
“Apabila akar umbi merasakan kawasan itu mempunyai segala faktor kekuatan untuk dimenangi, mereka akan melihat kerusi bukan sebagai milik parti, tetapi sebagai peluang yang wajib dituntut.
“Di sinilah ujian sebenar PN bermula,” katanya.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, pula berkata tuntutan berkenaan perlu dilihat berdasarkan prinsip pernah dinyatakan Presiden Hadi Awang, semua kerusi milik PAS akan dipertahankan parti itu.

Katanya, prinsip sama sepatutnya terpakai terhadap kerusi yang kini dipegang rakan gabungan termasuk Wawasan dan Umno.
“Memang betul PAS kawasan Tasek Gelugor lebih hebat daripada Wawasan. Itu tidak dinafikan kerana Wawasan tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.
“Tetapi, perlu dinyatakan Wawasan adalah penyandang walaupun asalnya daripada Bersatu. Sekarang ia Wawasan dan Wawasan adalah sebahagian daripada PN,” katanya.
Azmi berkata, status Wan Saiful sebagai penyandang perlu diambil kira dalam rundingan pembahagian kerusi.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.