Pertemuan PAS, Umno Kedah hanya ‘sembang santai’, kata Sanusi

Pertemuan pimpinan PAS dan Umno Kedah tidak lama lagi sekadar perbincangan santai mengenai perkembangan politik semasa, kata Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor.
Pengarah pilihan raya PAS itu berkata, sebarang keputusan berkaitan pengagihan kerusi tertakluk kepada PAS Pusat dan Perikatan Nasional (PN) sepenuhnya.
“Perjumpaan (dengan Umno Kedah) setakat sembang tentang perkembangan semasa parti masing-masing sahaja. Soal kerusi ini hanya boleh diputuskan PAS Pusat selepas berunding di peringkat nasional, bukan di peringkat negeri,” katanya kepada FMT.
Semalam, Sanusi mengesahkan beliau akan menemui Ketua Umno Kedah, Mahdzir Khalid dan bekas menteri besar Kedah, Ahmad Bashah Md Hanipah bagi meneroka kemungkinan kerjasama politik antara dua parti di negeri itu.
Setakat ini, katanya, beliau difahamkan soal agihan kerusi berdasarkan status quo atau keadaan sedia ada, namun Umno-Barisan Nasional (BN) boleh meneroka kawasan hendak ditandingi jika mereka belum memiliki sebarang kerusi seperti di Kedah.
Sebelum ini, Umno Kedah menyuarakan kesediaan mengadakan perbincangan kerjasama politik dengan PAS negeri, namun menegaskan rundingan itu tidak akan melibatkan parti komponen PN yang lain.
Sanusi menepis kebimbangan parti komponen lain akan berasa terabai kerana sebarang perkembangan pertemuan itu akan disalurkan kepada pimpinan tertinggi.
“Tak ada kebimbangan itu kerana apa sahaja perkembangan akan dibawa kepada PAS Pusat dan mesyuarat PN.”
Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen, berkata sebarang bentuk kerjasama politik mesti berteraskan keikhlasan serta kehendak rakyat, bukan sekadar platform untuk kembali berkuasa.
Menurutnya, parti itu kekal konsisten mempertahankan prinsip keharmonian dan ketelusan dalam pembentukan jajaran politik.
“Rakyat telah menolak rasuah, mahukan ketelusan dalam kerajaan dan mengutamakan keharmonian antara kaum.
“Gerakan sentiasa berpegang kepada prinsip ini dalam sebarang bentuk kerjasama politik dan itu yang paling penting bagi kami,” kata Adun Kulim itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.