Pemecatan exco N Sembilan sah, kata peguam negara

Pembatalan pelantikan 10 exco Negeri Sembilan sah mengikut peruntukan undang-undang negeri, kata Peguam Negara, Dusuki Mokhtar.
Menurutnya, warta pembatalan itu yang berkuat kuasa 20 Sept lalu sejajar Perkara 38(5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Berdasarkan warta Perkara 38(5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang exco selain menteri besar memegang jawatannya selama diperkenan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir,” katanya menurut Sinar Harian.
Pentadbiran Negeri Sembilan mewartakan pembatalan pelantikan 10 exco Khamis lalu, dengan pemecatan mereka berkuat kuasa 20 Sept lalu.
Warta itu menyebut pelantikan mereka dibatalkan dan terbatal kerana melanggar ikrar taat setia kepada Tuanku Muhriz.
Sepuluh bekas exco itu terdiri daripada tujuh wakil Umno, iaitu Mustapha Nagoor (Palong), Faizal Ramli (Linggi), Zaiful Bahri Idris (Chembong), Razi Ali (Sungai Lui), Asna Amin (Lenggeng), Siti Nur Umaira Hasim (Labu) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Baki tiga lagi ialah Siow Kong Choon (Chennah) daripada MCA, wakil PAS Fairuz Isa (Serting) dan Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.
Pemecatan itu menyusul seminggu selepas mereka mengeluarkan kenyataan didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar, sebelum disokong Menteri Besar, Ismail Lasim keesokannya.
Bagaimanapun, perkara itu dipertikaikan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan serta Jabatan Peguam Negara.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.