Peguam nafi 2 polis dibiayai sindiket jenayah

Peguam mewakili dua anggota polis yang mendakwa dikasari oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Shuhaily Zain, menafikan tuduhan kos guaman mereka dibiayai sindiket jenayah.
Tetuan Kamal Hisham & Associates memberi amaran bahawa anak guamnya mahu mengambil tindakan saman sivil terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan sedemikian, lapor Utusan Malaysia.
Katanya, tuduhan tersebut turut menyasarkan firma berkenaan selaku peguam cara mereka.
“Kami menghormati hak kebebasan bercakap yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, hak kebebasan bersuara bukanlah merupakan suatu kebebasan yang mutlak.
“Sebarang pernyataan yang tidak benar adalah merupakan suatu kesalahan yang boleh disiasat oleh pihak berkuasa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Kes ini mendapat perhatian umum selepas rakaman CCTV yang didakwa menunjukkan Shuhaily berkonfrontasi seorang individu di Terminal 1 KLIA tular di media sosial.
AKPS mengesahkan ketulenan rakaman itu dan memberitahu kejadian berlaku ketika Shuhaily memeriksa persiapan di KLIA menjelang Grand Prix Bahrain.
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sedang menyiasat kejadian itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Firma guaman itu berkata kedua-dua anggota polis berkenaan membuat laporan polis tambahan pada 10 Okt untuk mengemukakan keterangan material berkaitan kes tersebut kepada polis.
Katanya, terdapat fakta kes itu menjurus kepada kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugasnya, menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencemarkan kehormatan seseorang dan melakukan ugutan jenayah.
“Kami menyerahkan sepenuhnya siasatan kes ini kepada polis dan juga Jabatan Peguam untuk menilai serta membuat keputusan demi kepentingan keadilan semua pihak,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.