Belanjawan 2027: REACH gesa insentif anak beli rumah dekat ibu bapa

Kerajaan digesa memperkenalkan insentif kewangan kepada anak yang membeli rumah berhampiran ibu bapa menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu memperkukuh penjagaan warga emas dalam keluarga.
Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) Iskandar Abdul Samad berkata insentif itu boleh diberikan dalam bentuk geran pembelian rumah kepada anak yang membeli kediaman dalam jarak tertentu dari rumah ibu bapa.
“Insentif lebih tinggi juga boleh dipertimbangkan sekiranya ibu bapa tinggal bersama anak di kediaman sama.
“Kerajaan boleh menentukan jumlah insentif, had harga rumah, had pendapatan serta jarak yang sesuai berdasarkan keadaan di Malaysia,” kata bekas exco perumahan Selangor itu dalam kenyataan.
Iskandar berkata cadangan itu dikemukakan kepada kerajaan pada Mei lalu dan wajar dipertimbangkan sebagai dasar yang boleh dilaksanakan susulan peningkatan jumlah warga emas.
Katanya, institusi keluarga perlu diperkukuh sebagai barisan hadapan dalam menjaga golongan itu, dengan skim berkenaan boleh dimulakan secara bersasar kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana sebelum diperluaskan berdasarkan keberkesanannya.
Menurut REACH, tinggal berdekatan akan memudahkan anak membantu ibu bapa dalam urusan harian, membawa mereka mendapatkan rawatan ketika kecemasan dan memantau kebajikan mereka.
Iskandar berkata Singapura melaksanakan pendekatan seumpama itu menerusi Proximity Housing Grant (PHG), yang menawarkan sehingga S$30,000 kepada keluarga yang membeli rumah untuk tinggal bersama ibu bapa atau anak.
Pembelian rumah dalam lingkungan 4km dari kediaman ibu bapa atau anak pula layak menerima geran sehingga S$20,000.
“Malaysia tidak semestinya meniru skim tersebut sepenuhnya, namun prinsip di sebaliknya wajar diberi perhatian kerana dasar perumahan juga boleh digunakan untuk memperkukuh institusi keluarga dan kebajikan warga emas.
“Ini bukan semata-mata bantuan untuk membeli rumah. Ia merupakan satu pelaburan sosial,” katanya.
Iskandar berkata usaha memperkukuh penjagaan warga emas dalam keluarga juga perlu bergerak seiring dengan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas.
“Kami menyokong usaha tersebut, tetapi berpandangan perlindungan melalui undang-undang perlu bergerak seiring dengan insentif yang membantu keluarga menjaga ibu bapa mereka.
“Kita tidak seharusnya hanya bertanya apakah tanggungjawab anak terhadap ibu bapa. Kerajaan juga perlu bertanya apakah bentuk sokongan yang boleh diberikan supaya mereka lebih mampu melaksanakan tanggungjawab itu,” kata Iskandar yang juga bendahari PAS.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.