Mentertawakan 357,474 orang Negeri Sembilan


Duhai 357,474 pengundi Negeri Sembilan, tahukah kalian, segala perlakuan kalian sedang diperhatikan dan digelakkan? 7 Ogos lalu, sembilan Adun Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Wawasan yang memenangi 25 kerusi dalam PRN Negeri Sembilan mengangkat sumpah pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti dengan menggunakan al-Quran. Mereka malah bersumpah dengan nama Allah. Kecuali seorang, yang mana beliau adalah bukan Islam, berbangsa Cina dan merupakan Adun MCA (bukan DAP). Ketika mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam istiadat pelantikan itu mereka berikrar akan mempertahankan institusi diraja dan juga institusi adat di negeri ini.
Namun demikian, pada 17 Sept, barisan exco yang terdiri Adun Linggi Mohd Faizal Ramli, Adun Palong Mustapha Nagoor; dan lapan exco baharu iaitu Adun Chembong Zaifulbahri Idris, Siow Kong Choon (Chennah), Siti Nur Umaira Hasim (Labu), Mohd Asna Amin (Lenggeng), Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Suhaimizan Bizar (Gemencheh), Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Razali Abu Samah (Sikamat) semuanya membuat pusingan U-turn mengingkari sumpah dengan al-Quran mereka itu; lantas memilih untuk menderhakai Yamtuan Besar.
Semua mereka, termasuk Menteri Besar Ismail Lasim mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta sepakat menyetujui pemilihan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pengganti, di mana proklamasi itu bertarikh 19 April 2026.
Sudah tentu, abaikanlah kelucuan yang berlaku. Mereka mengangkat sumpah pelantikan di hadapan Tuanku Muhriz, dan mereka juga berasa cukup besar untuk melangkaui adat dan ’melengserkan’ Raja yang melantik mereka.
Duhai 357,474 pengundi Negeri Sembilan, pembatalan pelantikan atau penarikan perkenan terhadap Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan ini adalah sesuatu yang ekstrem dan tidak pernah terjadi. Umno dalam sejarah memang biasa mencabar serta melawan institusi raja meskipun lahir di Istana Johor. 357,474 pengundi Negeri Sembilan yang mendambakan Umno 1 Ogos lalu tatkala PRN telah merosakkan kestabilan dan kemakmuran negeri mereka sendiri.
Yang perlu ditertawa dan digelakkan sekarang adalah ahli Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Wawasan di Negeri Sembilan tempoh hari. Ini kerana, dalam sebuah buku Adat The Legacy of Minangkabau (2015) yang ditulis oleh ‘pakar adat’ kelompok penderhaka ini, Rais Yatim menukilkan:
“Umno, the spinal political party in Negeri Sembilan as elsewhere in the Federation, takes no initiative at all in fostering or promoting adat despite the promotion of culture is part and parcel of the party’s political struggle apart from bahasa Melayu as the national language; neither does the other Malay-based political entities do any adat promotion – PAS (Pan Malaysia Islamic Party)…”
Terjemahannya barangkali berbunyi begini: “Umno, parti politik yang menjadi tulang belakang politik di Negeri Sembilan sebagaimana di tempat-tempat lain dalam persekutuan, langsung tidak mengambil inisiatif untuk memupuk atau memperkasakan adat, walaupun pemajuan kebudayaan merupakan sebahagian daripada perjuangan politik parti tersebut, selain perjuangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Begitu juga, entiti politik berteraskan Melayu yang lain tidak melakukan sebarang usaha yang bermakna untuk mempromosikan adat, PAS (Parti Islam Se- Malaysia)…”
Duhai 357,474 pengundi Negeri Sembilan, ini bermakna, sejak 2015 lagi Rais Yatim selaku ‘rujukan adat kelompok penderhaka’ sendiri tahu Umno dan PAS tidak boleh diharapkan. Apa yang berlaku selama ini adalah penunggangan adat untuk agenda politik. Bahkan, agenda dan motif sebenar di sebalik apa yang dilakukan oleh grup penderhaka ini belum diketahui. Mungkin, objektif mereka jauh lebih dahsyat dan hodoh dari yang kita jangkakan.
357,474 pengundi Negeri Sembilan yang memilih Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Wawasan di Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu telah melakukan pengingkaran serius terhadap amalan dan cara hidup mereka sendiri iaitu Adat Perpatih, satu cara hidup yang selaras dengan syarak. Mereka tahu apa yang akan berlaku, tetapi memilih untuk meredahnya.
RJ Wilkinson yang mengutip dan merekod amalan Adat Perpatih ini pada tahun 1938 dalam dokumen rasmi beliau berjudul ‘Seri Menanti’ menyebutkan Yamtuan Besar memiliki status raja yang adil, dan kuasa pemutus kepada setiap konflik dalam hal keagamaan dan adat:
“The Yamtuan was berkhalifah, the Caliph, God’s agent on earth. This implied that he stood at the head of the religious law and was the court of final resort in all disputes regarding Moslem custom. This position meant much less in the Negri Sembilan than it did elsewhere owing to the fact that the chiefs and people owed their powers and liberties to the adat and would not tolerate any appeals to higher courts. Similarly, the Yamtuan was the keadilan or final court appeal in cases under the customary law…”
Terjemahan yang serasi adalah: “Yamtuan ialah berkhalifah, iaitu khalifah atau wakil Tuhan di muka bumi. Kedudukan ini bermaksud baginda berada di puncak pentadbiran hukum agama dan menjadi mahkamah rayuan terakhir bagi segala pertikaian berkaitan adat orang Islam. Namun, kedudukan ini mempunyai makna yang jauh lebih kecil di Negeri Sembilan berbanding di tempat-tempat lain, kerana para pembesar dan rakyat memperoleh kuasa serta kebebasan mereka daripada adat, dan mereka tidak akan menerima kewujudan rayuan kepada mahkamah yang lebih tinggi. Begitu juga, Yamtuan merupakan keadilan, iaitu mahkamah rayuan terakhir bagi kes-kes yang tertakluk kepada hukum adat.”
Duhai 357,474 pengundi Negeri Sembilan, membaca catatan lama ini kita memahami apa yang dilakukan oleh mantan Undang Sungei Ujong, Rembau, Jelebu dan Undang Johol ini suatu yang menabrak adat. Padahal raja yang adil kita sembah. Yang berkenan maksiat, korupsi dan rasuah itu kita sanggah.
Negeri Sembilan kini berdepan jalan buntu. Siapa sangka Umno penjaga Melayu yang akan mengkhianati institusi adat dan diraja. Duhai 357,474 pengundi Negeri Sembilan, siapa pula sangka, rupanya bukan DAP yang berbuat celaka.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.