Syarikat Jepun antara 97 firma disiasat berkait kebakaran hutan di Indonesia

Polis Indonesia sedang menyiasat 97 syarikat tempatan dan asing, termasuk anak syarikat sebuah firma Jepun berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam kebakaran hutan di beberapa pulau di negara itu, kata polis pada Khamis, lapor Kyodo News.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Negara, Asep Safrudin, dalam sidang media disiarkan secara langsung di wilayah Kalimantan Barat berkata, firma Jepun yang dikenal pasti melalui singkatan PT MTI, bersama 21 syarikat asing lain, antara pihak sedang disiasat.
Polis meminta kerajaan membatalkan lesen perniagaan 23 daripada 97 syarikat terbabit, kata Asep tanpa memperincikan identiti syarikat itu.
Beliau berkata, kebakaran hutan dan tanah berulang kali berlaku sejak awal tahun ini di kawasan konsesi syarikat terbabit.
Kebakaran besar di wilayah Indonesia di Borneo, Sumatera, Sulawesi, Maluku dan Papua sejak Ogos lalu menyebabkan kualiti udara merosot serta memaksa sekolah beralih kepada pembelajaran dalam talian.
Jerebu turut menjejaskan kesihatan penduduk di pulau berkenaan, dengan ramai mengalami masalah pernafasan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.