Khoo mohon maaf isu solat Jumaat di Terengganu

Ketua DAP Melaka Khoo Poay Tiong memohon maaf berhubung kontroversi hantaran beliau sebelum ini yang mempersoalkan arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu pada setiap hari Jumaat.
Khoo mengakui terdapat kelemahan dalam cara beliau menyampaikan pandangan dan pemilihan kata-kata serta nada hantaran itu hingga menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya amat menghormati agama Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama mereka.
“Saya sama sekali tidak berniat untuk mempertikaikan atau memperkecilkan kepentingan ibadah tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Khoo berkata, sebagai seorang wakil rakyat dan pemimpin, beliau sepatutnya lebih berhati-hati, bertanggungjawab dan sensitif dalam menyampaikan pandangan, khususnya apabila melibatkan isu agama dan sensitiviti masyarakat majmuk.
Tambahnya, beliau juga menerima teguran dan kritikan yang diberikan dengan hati terbuka, serta mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian tersebut.
“Sekali lagi, saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terluka dengan hantaran saya.
“Saya akan mengambil iktibar daripada perkara ini dan lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan pada masa hadapan. Saya memohon maaf dengan penuh keikhlasan,” katanya.
Semalam, Khoo dalam hantaran di Facebook membangkitkan kebimbangan terhadap arahan penutupan premis perniagaan dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat di Terengganu.
Beliau berpandangan pelaksanaan peraturan secara menyeluruh boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan operasi peniaga bukan Islam yang tidak tertakluk kepada kewajipan solat Jumaat.
Khoo turut mengaitkan peraturan itu dengan pengaruh dasar keagamaan konservatif dalam pentadbiran awam, namun menegaskan beliau menghormati kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Kenyataannya mendapat teguran Pengarah Komunikasi PKR Adam Adli yang menggesa Khoo menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf.
Pada Januari 2024, MBKT menjelaskan arahan penutupan premis selama dua jam setiap Jumaat tidak melibatkan premis milik bukan Islam, kecuali premis makanan yang mempunyai pekerja Muslim.
Khoo yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka turut mempersoalkan nasib peniaga pelbagai kaum di Melaka sekiranya penguatkuasaan seumpama itu dilaksanakan oleh kerajaan gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di negeri berkenaan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.