Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di P Pinang

Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam tanah runtuh yang menjejaskan sebuah rumah di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.36 pagi tadi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dikejarkan ke lokasi.
“Kejadian menjejaskan bahagian belakang sebuah rumah dan laporan awal memaklumkan terdapat tiga mangsa, iaitu penghuni rumah itu, namun dua daripadanya berjaya menyelamatkan diri.
“Mangsa yang tertimbus disahkan meninggal dunia pada 9.10 pagi oleh petugas Kementerian Kesihatan, namun usaha mengeluarkan mayat masih dilakukan bomba,” katanya dalam kenyataan.
Setakat 9.45 pagi, bomba masih berusaha mengeluarkan mangsa.
Operasi itu membabitkan tujuh anggota bomba termasuk penyelia, sebuah jentera Light Fire Rescue Tender dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan serta polis.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.