AirBorneo milik Sarawak, mengapa Persekutuan masih beri subsidi?

AirBorneo kini dimiliki Sarawak, namun subsidi kerajaan persekutuan bagi penerbangan pedalaman masih diperlukan bagi memastikan penduduk terus mempunyai akses kepada pengangkutan udara mampu milik, terutama di kawasan dengan pilihan perjalanan terhad.
Ahli ekonomi Firdausi Suffian berkata keperluan subsidi itu harus dinilai berdasarkan kepentingannya kepada penduduk, bukannya semata-mata siapa yang memiliki syarikat penerbangan berkenaan.
“Tanpa subsidi, kos pengangkutan boleh menjadi jauh lebih tinggi, jadi subsidi ini diperlukan untuk membantu penduduk mendapatkan akses, terutama di luar bandar,” katanya kepada FMT.
Menerusi Belanjawan 2027, kerajaan persekutuan meneruskan subsidi RM209 juta bagi penerbangan pedalaman yang dijangka memanfaatkan kira-kira 820,000 penumpang, selepas MASwings diserahkan kepada Sarawak dan dijenamakan semula sebagai AirBorneo.
Subsidi itu membiayai perkhidmatan udara luar bandar (RAS) di bawah obligasi perkhidmatan awam bagi memastikan laluan penting ke kawasan pedalaman terus dikendalikan walaupun mungkin tidak berdaya maju secara komersial.
Bagaimanapun, bukan semua laluan AirBorneo menerima subsidi. Kementerian Pengangkutan sebelum ini menjelaskan laluan Kuching-Sibu, Kuching-Miri dan Kuching-Bintulu bukan dalam kategori RAS dan boleh dikendalikan secara komersial.
Penerbangan jimat masa, penting ketika kecemasan
Bagi guru sekolah rendah Gwynth Vincent, penerbangan antara Kota Kinabalu dan Lahad Datu banyak menjimatkan masa, terutama ketika berdepan kecemasan keluarga atau perlu mendapatkan rawatan.

Gwynth, yang bertugas di Kota Kinabalu, berkata perjalanan darat ke kampung halamannya di Lahad Datu mengambil kira-kira lapan jam, berbanding hanya 50 minit dengan penerbangan.
Beliau pernah bergantung kepada penerbangan untuk pulang ketika neneknya sakit, selain menggunakannya bagi mendapatkan rawatan pakar mata di Kota Kinabalu.
“Dalam keadaan kecemasan, masa sangat penting,” katanya.
Menurutnya, perjalanan darat bukan sahaja mengambil masa panjang, malah memenatkan dan boleh menjadi berisiko apabila melalui jalan kurang baik serta gelap pada waktu malam.

Seorang lagi penjawat awam, Michael Roman, 28, turut memilih penerbangan bagi urusan kerja antara Kota Kinabalu dan beberapa daerah di pantai timur Sabah termasuk Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.
Katanya, perjalanan udara mengambil masa kira-kira 45 minit hingga sejam, berbanding lapan hingga 10 jam melalui jalan darat.
Michael pernah mengambil penerbangan terakhir dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu ketika bapa saudaranya berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Menurutnya, kos penerbangan juga tidak jauh berbeza berbanding perjalanan darat apabila mengambil kira perbelanjaan minyak, makanan dan, dalam keadaan tertentu, tempat persinggahan untuk berehat.
Beliau menyambut baik bantuan kerajaan bagi memastikan penerbangan kekal mampu diakses, tetapi berharap kerajaan persekutuan dan negeri turut mempercepat penambahbaikan jalan raya supaya penduduk mempunyai lebih banyak pilihan pengangkutan.
Di Sarawak, penjawat awam Nuruddin Sabali, 32, menggunakan AirBorneo bagi urusan kerja, termasuk untuk perjalanan Kuching-Mukah serta Miri-Limbang dan Lawas.
Katanya, subsidi RAS wajar dikekalkan kerana penerbangan pedalaman bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk ke bandar utama, malah penting untuk membawa bekalan dan mendapatkan rawatan kesihatan.
“Menghapuskan subsidi akan meningkatkan kos untuk penduduk luar bandar,” katanya.
Nuruddin berkata keadaan infrastruktur di Sabah dan Sarawak juga berbeza berbanding Semenanjung, menyebabkan penerbangan kekal penting bagi sesetengah komuniti.
Akses, bukan keuntungan semata-mata
Firdausi berkata nilai penerbangan pedalaman tidak boleh diukur berdasarkan keuntungan semata-mata kerana perkhidmatan itu menyediakan akses penting kepada masyarakat yang sukar dihubungkan melalui jalan darat.
Selain memudahkan penduduk mendapatkan rawatan, katanya, penerbangan pedalaman turut membantu membawa bekalan ubat-ubatan dan membolehkan pelajar dari kawasan terpencil meneruskan pengajian di bandar.
Beliau berkata keperluan terhadap subsidi boleh berkurang sekiranya rangkaian jalan raya dan pilihan pengangkutan darat bertambah baik.
Namun, selagi penduduk masih berdepan kekangan akses, katanya, kerajaan mempunyai peranan untuk memastikan perkhidmatan penting itu terus tersedia.
“Dalam keadaan penduduk berdepan kekangan akses, kerajaan berperanan membantu melalui subsidi.
“Ini bukan soal sama ada pelaburan itu produktif atau tidak, tetapi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.