Pelajar maut dipercayai dicekik teman lelaki

Seorang pelajar wanita berusia 19 tahun ditemui mati dipercayai dicekik teman lelakinya selepas mereka bertengkar di sebuah rumah di Air Putih, Kuantan, pagi tadi.
Suspek berusia 19 tahun yang berada di rumah itu kemudian ditahan polis untuk siasatan lanjut, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Kuantan, Ashari Abu Samah, berkata suspek menghubungi polis pada 4.32 pagi memaklumkan kejadian selepas dia bertengkar dengan mangsa.
“Mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di atas katil di tingkat bawah rumah berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Suspek ditahan di tempat kejadian. Siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara suspek dan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi menentukan punca kematian.
Katanya, polis akan merakam percakapan saksi dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya.
Menurutnya, suspek direman tujuh hari hingga 12 Okt untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.