Isu Najib mungkin bantu Umno di Melaka, belum tentu negeri lain

Isu tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak mungkin membantu Umno pada PRN Melaka, Sabtu ini namun belum tentu memberi kesan sama di negeri lain, kata penganalisis.
Mereka berpandangan perkembangan itu lebih cenderung menggerakkan penyokong lama untuk mengundi Barisan Nasional (BN) berbanding menarik pengundi baharu menjelang PRU16.
Tawfik Yaakub berkata Najib diakui masih mempunyai pengaruh yang mungkin memberi momentum untuk Umno di Melaka seperti dinyatakan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Namun menurut ahli akademik dari Universiti Malaya itu, momentum berkenaan mungkin tidak berterusan pada PRU16 kerana keberkesanannya bergantung demografi dan budaya politik setiap negeri.

Ujarnya, isu itu mungkin dilihat dari sudut berbeza di Selangor dan Pulau Pinang, sekali gus menjejaskan peluang menarik pengundi bagi meningkatan sokongan di dua negeri yang Umno hilang teruk sokongan sejak 2008.
“Di Melaka, Umno mempunyai akar umbi kukuh serta kelebihan sebagai peneraju kerajaan negeri.
“Namun di Selangor dan Pulau Pinang khususnya kawasan bandar, pengundi lebih cenderung memberikan perhatian kepada isu integriti, reformasi dan ekonomi,” katanya kepada FMT,
“Apa yang berkesan di Melaka belum tentu berkesan di negeri lain kerana sentimen terhadap Najib tidak seragam dalam kalangan pengundi.”
Hanya optimisme politik
Kelmarin, Tuan Ibrahim berkata isu tahanan rumah Najib memberi momentum kepada Umno pada PRN Melaka dan mampu berterusan hingga PRU akan datang.
Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah pada Selasa lalu. Hukuman itu dijadual tamat pada 23 Ogos 2028.
Umno menubuhkan tabung untuk mengumpul dana bagi membayar denda RM50 juta dikenakan terhadap Najib dalam kes itu yang membolehkannya menjalani tahanan rumah berkenaan.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula menyifatkan pandangan Tuan Ibrahim itu lebih kepada optimisme politik berbanding realiti pengundian.
Ujarnya, isu tahanan rumah Najib mungkin menghidupkan semula semangat akar umbi Umno khususnya kelompok yang masih setia kepada Najib tetapi bukan pengundi baharu.
“Adakah rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup akan mengubah pilihan politik mereka kerana perubahan tempat seorang bekas perdana menteri menjalani hukuman?,” katanya.
Risiko kepada Umno
Dalam pada itu, Tawfik mengingatkan isu tahanan rumah Najib boleh menjadi pedang bermata dua kepada Umno sekiranya parti itu terlalu bergantung kepada sentimen terhadap bekas presidennya.
“Menjelang PRU16, Umno perlu membuktikan parti itu mempunyai agenda pembaharuan, kepimpinan baru dan penyelesaian terhadap permasalahan rakyat,” katanya.
Zaharuddin pula memberi amaran kebergantungan terhadap isu Najib boleh menjejaskan usaha Umno memulihkan keyakinan rakyat, khususnya pengundi muda yang mahukan perubahan.
“Jangan sampai Umno berjaya membawa Najib pulang ke rumah, tetapi gagal membawa pengundi pulang kepada Umno,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.