6 ditahan, sindiket judi ‘online’ sasar warga Australia tumpas

Polis menahan enam lelaki tempatan dipercayai terlibat sindiket penipuan perjudian dalam talian menyasarkan mangsa warga Australia dalam serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat di Kamunting, Taiping, Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata suspek berusia 22 hingga 31 tahun ditahan pada 8.05 malam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Taiping.
Beliau berkata, polis merampas 18 telefon bimbit pelbagai jenama yang menggunakan talian telco Australia, monitor komputer (10), cip pemprosesan komputer (6) dan satu router dianggarkan bernilai RM35,000.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini mula beroperasi pada Julai lepas dan menggunakan platform media sosial seperti Telegram serta WeChat untuk berhubung dengan mangsa.
“Mereka menggunakan pelbagai platform perjudian dalam talian dengan bayaran pakej antara AUD30 hingga AUD200 yang diterima melalui akaun bank Australia,” katanya pada sidang media di IPK Perak, hari ini.
Alwi berkata, semua suspek berperanan sebagai ejen mencari pelanggan dan mempromosikan perjudian itu dengan gaji dianggarkan RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.
Semua mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kini direman hingga 24 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 serta Seksyen 120 (b) Kanun Keseksaan.
Beliau menyeru orang awam tidak sesekali membantu rangkaian sindiket termasuk dalam urusan menyewa premis kediaman atau membekalkan peralatan komunikasi kepada pihak terlibat.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.