ESPN DeportesCon gol de Luis Suárez, Inter Miami abre el cerrojo de CincinnatiThe Jerusalem PostA different flamenco perspective comes to Tel AvivPunchGroup pledges massive votes for TinubuCNN TürkBakan Çiftçi'den 29 Ekim uyarısı! 4 ilde turuncu alarmESPNEvery Premier League team ranked by bang-for-buck: What if they spent like Man City?InquirerAuthorities seize P2.2M in contraband cigarettes in Sultan Kudarat townZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDF한겨레경기 버스, 30일 총파업 코앞…도, 전세버스·전철 ‘비상수송대책’ColliderNetflix’s Most-Watched Series Ever Officially Won’t Return in 2026UOLDeputados pedem investigação de listas de boicote e agressões em SC: Não estamos no nazismoSBS 뉴스장동혁 "선관위·특검, 야반도주하듯 투표함 들고 사라져…부정선거 증거 쏟아져"Global News‘Indestructible’ Downtown Eastside toilet suddenly out of service
The Daily Newsstand · Free, Always
Thursday, October 29, 2026

Kawasan bandar, majoriti Cina jadi tumpuan utama PRN Sarawak

Translate

Kawasan bandar yang majoriti pengundinya kaum Cina akan menjadi antara kerusi yang perlu diberi perhatian pada PRN Sarawak akan datang, ketika Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah berusaha mengekalkan semua 79 kerusi yang dimenanginya sebelum ini.

Bagaimanapun, perselisihan berterusan antara dua parti komponen GPS, ditambah dengan ketiadaan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang kini telah dibubarkan, boleh meningkatkan peluang DAP untuk menambah jumlah dua kerusi yang dimenanginya pada 2021.

Penganalisis politik, Jayum Jawan daripada Akademi Sains Malaysia dan James Chin daripada Universiti Tasmania, berkata kerusi majoriti Cina sering menyaksikan persaingan sengit, sekali gus memberi peluang kepada parti pembangkang untuk mendapat kerusi di DUN.

Jayum berkata, persaingan bagi beberapa kawasan pilihan raya itu mungkin menjadi lebih sengit susulan pertikaian berterusan antara dua parti komponen GPS, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

jayum jawan

Jayum Jawan.

“SUPP, PDP dan DAP akan menyasarkan kerusi yang sama, khususnya Bawang Assan, yang dahulunya diwakili SUPP sehingga wakilnya Wong Soon Koh, meninggalkan parti itu.

“Wong kemudian menubuhkan partinya sendiri, Parti Sarawak Bersatu (PSB), yang kemudiannya dibubarkan dan diserap ke dalam PDP pimpinan Tiong King Sing. Wong kini naib presiden kanan parti itu.

“Jadi, SUPP semestinya mahu bertanding di Bawang Assan, manakala PDP dijangka tidak akan menyerahkan kerusi itu kepada SUPP dengan mudah. Pada masa yang sama, memandangkan kerusi itu majoriti Cina, DAP juga dijangka bertanding di situ,” katanya kepada FMT.

Kerusi lain yang mungkin menjadi rebutan antara PDP dan SUPP termasuk kawasan majoriti Dayak, Engkilili, yang disandang sejak 2006 oleh Johnical Rayong Ngipa, bekas pemimpin PSB yang kini bersama PDP.

james chin

James Chin.

Chin menjangkakan persaingan paling sengit berlaku di kawasan pilihan raya bandar yang majoriti pengundinya kaum Cina, memandangkan pengundi Cina lazimnya mahukan kehadiran pembangkang di DUN.

“Orang Cina biasanya tidak mahu memberikan sokongan 100% kepada satu pihak sahaja. Mereka bimbang memandangkan kaum Dayak dan Melayu berkemungkinan tidak akan mengundi menentang GPS, tiada semak dan imbang dalam DUN jika mereka tidak memilih Adun pembangkang.”

Pada PRN Sarawak 2021, GPS memenangi 76 kerusi, manakala PSB dan DAP masing-masing memperoleh empat dan dua kerusi.

Pada 2023, Adun Batu Lintang daripada PSB, See Chee How, mengisytiharkan menjadi wakil rakyat bebas dan menyokong kerajaan negeri.

Selepas PSB diserap ke dalam PDP pada 2024, GPS memegang 79 daripada 82 kerusi dalam DUN Sarawak, manakala sokongan See meningkatkan kekuatan gabungan itu kepada 80 kerusi.

Ketiadaan PSB beri kelebihan kepada DAP?

Selepas memainkan peranan penting dalam memecahkan undi pembangkang di beberapa kawasan pilihan raya pada PRN 2021, ketiadaan PSB pada pilihan raya akan datang mungkin beri kelebihan kepada DAP.

Perkara ini jelas kelihatan di lima kerusi yang tewas kepada SUPP pada tahun itu, iaitu Kota Sentosa, Bukit Assek, Pelawan, Tanjong Batu dan Pujut.

Semua lima kerusi itu menyaksikan pertandingan berbilang penjuru yang melibatkan PSB dan sebuah lagi parti pembangkang, Parti Bumi Kenyalang (PBK), sekali gus memecahkan undi pembangkang dan menyumbang kepada beberapa kemenangan tipis SUPP.

SUPP menang tipis di Tanjong Batu apabila menewaskan DAP dengan majoriti hanya 23 undi, manakala PBK dan PSB masing-masing memperoleh 2,204 dan 1,071 undi.

Corak yang sama berlaku di Pelawan dan Bukit Assek, apabila SUPP menewaskan DAP dengan majoriti masing-masing hanya 100 dan 874 undi, manakala calon PBK dan PSB secara keseluruhan meraih ribuan undi.

SUPP menang dengan lebih selesa di Pujut dan Kota Sentosa, masing-masing dengan majoriti 1,566 dan 1,683 undi.

Bagaimanapun, PBK dan PSB sekali lagi meraih sokongan yang besar di kedua-dua kawasan itu, dengan masing-masing memperoleh ribuan undi, sekali gus mengurangkan dengan ketara sokongan yang sebaliknya mungkin diberikan kepada DAP.

SUPP dikedudukan yang baik

SUPP berisiko kalah besar sekiranya hilang semua lima kerusi itu, khususnya ketika parti berkenaan berusaha mengukuhkan kedudukannya dalam GPS di tengah-tengah persaingan dengan PDP untuk mendapatkan pengaruh yang lebih besar dalam gabungan tersebut.

Bagaimanapun, Jayum berkata rundingan belakang tabir bagi kerusi majoriti Cina berlangsung agak senyap kali ini, yang membayangkan pesaing SUPP mungkin sedang berdepan masalah dalaman.

“Presiden SUPP yan juga Timbalan Premier Dr Sim Kui Hian, nampaknya berjaya menarik pengundi Cina untuk menyokong partinya,” katanya.

Beliau menambah kedudukan DAP yang bercanggah, iaitu sebagai sekutu GPS di peringkat Persekutuan tetapi kekal sebagai pembangkang di peringkat negeri, telah mengelirukan sesetengah pengundi dan berpotensi menyebabkan mereka kurang cenderung menyokong parti dari di Malaysia Barat itu.

Jayum turut memberi amaran kepada DAP bahawa sentimen anti-Semenanjung yang dilihat dalam PRN Sabah pada 2025, khususnya di kawasan bandar, boleh merebak ke PRN Sarawak.

“Adalah lebih baik jika anggota DAP dari Malaysia Barat kekal di Semenanjung dan membiarkan DAP Sarawak menghadapinya sendiri,” katanya.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.