Wong Chen tolak gesaan Hassan, tetap mahu kritik Anwar

Bekas Ahli Parlimen Subang Wong Chen menolak gesaan Hassan Karim supaya bekas rakan PKR tidak mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara peribadi.
Wong berkata beliau tidak bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR itu kerana pemimpin kerajaan perlu dipertanggungjawabkan atas keputusan mereka, terutama apabila timbul perkara wajar dipersoalkan.
Menurut Wong, Hassan mencadangkan supaya bekas pemimpin PKR sepertinya hanya mengkritik kerajaan dan tidak menyerang Anwar secara peribadi.
“Saya tidak akan mengikuti cadangan YB Hassan Karim,” katanya pada himpunan membantah lawatan ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing, di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), hari ini.
Semalam, FMT melaporkan Hassan mengingatkan bekas rakan PKR yang digelarnya ‘Geng Empat’ supaya tidak terus menyerang Anwar dan parti itu secara peribadi, walaupun mereka bebas mengkritik kerajaan.
Mereka yang dimaksudkannya ialah Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad, Wong Chen dan Lee Chean Chung yang kini menjadi antara pemimpin utama Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Hassan berkata mereka tersilap jika menganggap serangan berterusan terhadap Anwar dan PKR mampu menarik sokongan kepada Bersama pada PRU16.
Rafizi dan Nik Nazmi keluar PKR pada Mei 2026 selain bertindak mengosongkan kerusi Pandan serta Setiawangsa.
Wong mengikut jejak langkah mereka pada Ogos manakala Lee menyertai Bersama, 5 Okt lalu.
Bekas pemimpin PKR itu turut mengosongkan kerusi Subang dan Petaling Jaya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.