Nurul Syazwani dakwa dipinggir Bersatu, ‘digantung tak bertali’

Adun Permatang Nurul Syazwani Noh mendakwa dipinggirkan Bersatu tanpa sebarang keputusan rasmi menggantung atau memecatnya daripada parti, sehingga menyifatkan kedudukannya seperti ‘digantung tak bertali’.
Beliau berkata, masih menjadi ahli Bersatu dan ketua bahagian Tanjong Karang, tetapi tidak lagi dijemput menghadiri mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Selangor sejak selepas PRN Johor.
Katanya, keadaan itu sudah berlaku beberapa kali sehingga ada mesyuarat yang hanya diketahuinya selepas melihat gambar pertemuan berkenaan dikongsi.
“Saya masih ahli dan ketua bahagian, kenapa dilayan seperti orang luar,” katanya kepada FMT sambil mendakwa dikeluarkan daripada dua kumpulan WhatsApp membabitkan Adun Selangor dan pimpinan Bersatu negeri.
Semalam, Syazwani mendedahkan diberi surat tunjuk sebab Lembaga Disiplin Bersatu kerana menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 pada 11 Sept lalu, yang didakwa melanggar etika dan tatakelakuan parti, termasuk tidak memelihara nama baik serta maruah Bersatu.
Beliau menjelaskan, kehadirannya ke PAU adalah atas kapasiti peribadi dan bukan sebagai wakil parti selain mempersoalkan ‘restu’ kepada dua Adun Bersatu di Pahang untuk menyokong menteri besar daripada Umno.
Syazwani turut mempersoalkan tindakan menjemput timbalannya di Tanjong Karang ke mesyuarat Bersatu Selangor sedangkan beliau masih mengetuai bahagian itu.
Menurutnya, tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai haknya sebagai ketua bahagian serta pematuhan terhadap perlembagaan dan prosedur parti.
“Kalau tidak suka, pecatlah atau gantunglah. Apabila saya digantung, barulah timbalan saya ada hak,” katanya.
Mengenai laporan Adun Bersatu bersetuju menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor menjelang pembentangan belanjawan negeri bulan depan, Syazwani berkata berkata beliau secara peribadi belum boleh berbuat demikian.
“Saya bukan kata saya tidak bersetuju dengan kerjasama itu. Tetapi bagaimana saya hendak bersetuju dengan sesuatu yang saya sendiri tidak tahu terma dan syaratnya?” katanya merujuk Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).
Syazwani berkata, kerjasama dengan kerajaan negeri bukan perkara baharu baginya kerana beliau sudah lama berurusan dengan pentadbiran Menteri Besar Amirudin Shari demi kepentingan penduduk Permatang walaupun Bersatu berada di blok pembangkang.
Beliau turut memuji pemberian peruntukan kepada Adun pembangkang serta layanan adil Speaker DUN Selangor Lau Weng San terhadap wakil rakyat daripada kedua-dua blok.
Justeru, Syazwani menekankan kerjasama antara wakil rakyat daripada parti berbeza boleh diteruskan demi kepentingan rakyat tanpa semestinya bergantung kepada suatu perjanjian politik antara parti.
“Selama ini pun saya bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk kepentingan rakyat. Saya terlibat dalam jawatankuasa, hadir mesyuarat dan pernah mewakili kerajaan serta Dewan Negeri dalam rombongan rasmi ke luar negara,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.