Kes sunting gambar pelajar: Mangsa tidak patut berdepan suspek, polis diberitahu
Peguam yang mewakili mangsa dalam kes penyebaran gambar pelajar sekolah yang disunting menggunakan kecerdasan buatan mendakwa polis tidak mengikuti tatacara operasi standard (SOP) kerana memanggil mangsa untuk berdepan dengan suspek bagi pengecaman wajah.
Firma guaman, Ng Kian Nam & Partners, berkata mangsa bimbang akan dibalas dendam oleh suspek. Semalam, polis memaklumkan seorang pelajar Tingkatan 5 merupakan suspek dalam kes ini.
“Tindakan polis ini adalah jelasnya tidak mengikuti SOP cam muka, di mana proses ini seharusnya diadakan dalam keadaan ketat di mana suspek tidak dapat melihat identiti mangsa.
“Apatah lagi dalam kes ini para mangsa ialah kanak-kanak bawah umur yang memerlukan perlindungan lebih wajar dan sensitif daripada pihak polis selaras dengan Akta Kanak-kanak,” menurut kenyataan.
Peguam turut menyatakan kebimbangan bahawa suspek akan dibenarkan belajar di sekolah tersebut bersama mangsa esok, dan berkata sekolah dan polis perlu bertanggungjawab atas apa-apa yang akibat yang mungkin berlaku.
Peguam juga berharap lembaga pengelola sekolah menawarkan diri sebagai saksi untuk membantu siasatan polis, khasnya untuk mengesahkan sama ada terdapat penyelewengan kuasa atau pelanggaran SOP atau undang-undang oleh pihak pengetua dalam menangani isu ini.
Kenyataan ini menyusuli sesi mengambil keterangan mangsa, ibu bapa mereka serta beberapa saksi mata di IPD Seremban semalam. Pengetua dan penolong kanan hal ehwal murid sekolah turut dipanggil polis untuk memberi keterangan.
Peguam berkata suspek juga telah dibawa ke balai polis oleh penjaga.
Peguam mendakwa sebahagian gambar berkenaan masih disimpan dalam satu telefon bimbit lain, selain telefon bimbit yang dikesan di surau sekolah.
Dalam pada itu, peguam berkata anak guam mereka berpuas hati dengan tahap efisien polis, namun menerima aduan daripada saksi bawah umur mendakwa polis yang menemuramah mereka menggunakan cara terlalu agresif bagaikan mereka seperti suspek.
Peguam berkata polis ingin menyita telefon bimbit anak guam mereka, tetapi akhirnya membenarkan mereka membawa pulang telefon bimbit mereka selepas rayuan dibuat.
Sebelum ini, polis menerima lima laporan berhubung penyebaran gambar wajah pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah yang disunting menggunakan AI sehingga menyerupai gambar lucah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan membabitkan mangsa yang berusia 14 hingga 17 tahun itu daripada ibu bapa dan penjaga pada 20 hingga 23 Ogos lepas.
Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.