PH tak mungkin singkir Umno di Selangor demi kerjasama politik, kata penganalisis

Pakatan Harapan (PH) dijangka mengekalkan Umno dalam pentadbiran Selangor walaupun sedang merundingkan kerjasama dengan Bersatu, kerana sebarang perubahan boleh menjejaskan hubungan politik sedia ada yang perlu dipertimbangkan untuk jangka panjang, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata PH Selangor tidak mungkin mengambil tindakan drastik menggugurkan wakil Umno tanpa mengambil kira pendirian kepimpinan pusat dan kemungkinan tindak balas Barisan Nasional (BN).
Katanya, keputusan politik di peringkat negeri lazimnya berpandukan perkembangan nasional, termasuk pendekatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang masih mengekalkan menteri daripada Umno walaupun ada desakan supaya rombakan Kabinet dilakukan.
“Oleh itu, saya tidak fikir PH Selangor akan mengambil tindakan yang lebih drastik berbanding kepimpinan pusat,” katanya kepada FMT.
Syaza turut mengingatkan penyingkiran Umno boleh mencetuskan tindak balas BN jika dianggap sebagai isyarat PH tidak lagi mahu meneruskan kerjasama, termasuk kemungkinan gabungan itu menarik sokongan terhadap kerajaan persekutuan.
Spekulasi mengenai kedudukan Umno tercetus selepas sumber Bersatu memberitahu FMT mengenai kemungkinan perubahan jawatan penyelaras di beberapa kawasan susulan rundingan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) antara parti itu dengan pentadbiran Menteri Besar Amirudin Shari.
Sumber itu turut mendakwa kedudukan Adun Umno Rizam Ismail dalam barisan exco akan dibincangkan selepas CSA dimeterai.
Bagaimanapun, Setiausaha Politik Amirudin Saifuddin Shafi menegaskan kerajaan negeri tidak pernah merancang menggugurkan wakil Umno daripada barisan exco.
Perkembangan itu turut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju kerjasama PH dengan Umno dan Bersatu, khususnya dalam percaturan politik menjelang PRU16.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berkata rundingan CSA antara PH dan Bersatu di Selangor belum membawa maksud kerjasama politik menyeluruh yang boleh menggantikan hubungan sedia ada dengan Umno.
Beliau berkata CSA itu berkemungkinan hanya melibatkan sokongan wakil Bersatu terhadap urusan DUN, termasuk usul dan rang undang-undang kerajaan negeri, bukannya kerjasama pilihan raya.
“Jadi, perkara ini belum sampai ke tahap yang memerlukan Umno disingkirkan kerana hubungan antara PH dengan Umno masih belum terputus,” katanya.
Mazlan berkata penafian kerajaan Selangor mengenai kedudukan wakil Umno juga menunjukkan PH negeri tidak mahu mendahului keputusan kepimpinan pusat.
“Kedudukan wakil Umno dalam barisan exco dan jawatan penyelaras kawasan akan dikekalkan selagi tiada keputusan rasmi untuk menamatkan kerjasama PH-BN,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.