Pekerja gig, warga emas perlu perlindungan sosial lebih baik dalam Belanjawan 2027

Memperkukuh sistem perlindungan sosial Malaysia harus kekal sebagai keutamaan dalam Belanjawan 2027, termasuk meningkatkan kecukupan manfaat, meluaskan liputan kepada pekerja ekonomi gig dan mempertingkat sokongan untuk golongan warga emas, menurut Bank Dunia.
Ketua Ahli Ekonomi untuk Malaysia, Apurva Sanghi, berkata kerajaan telah melakukan tugas dengan baik dalam memperluas dan meningkatkan skala program bantuan sosial, tetapi masih wujudnya jurang dari segi kecukupan manfaat berkenaan.
“Syabas kepada kerajaan kerana memperluas dan meningkatkan skala program bantuan sosial sehingga berjaya dengan cemerlang. Tetapi terdapat isu dari segi kecukupan, iaitu terhadap manfaat sedia ada.
“Saya fikir pekerja ekonomi gig masih tidak dilindungi di bawah perlindungan pengangguran dan sistem insurans pekerjaan,” katanya kepada taklimat media mengenai Laporan Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia bagi Oktober 2026 hari ini.
Beliau berkata, peluasan perlindungan untuk merangkumi pekerja ekonomi gig boleh dipertimbangkan, mungkin dengan beberapa bentuk mekanisme padanan tertentu daripada kerajaan.
Selain itu, Apurva berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang semakin menua dengan pesat, tetapi perlindungan sosial masih belum mencakupi golongan warga emas dengan secukupnya.
Katanya, ramai warga emas tidak menerima sokongan yang mencukupi, sambil menyatakan skim pencen sosial tanpa caruman ketika ini hanya meliputi kira-kira empat peratus daripada golongan berusia 60 tahun ke atas.
“Jadi, usaha memperluas dan meningkatkan skala perlindungan sosial untuk golongan warga emas adalah sesuatu yang wajar dilaksanakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ini adalah cadangan yang dikemukakan semasa taklimat itu dan tidak semestinya akan diterima atau dimasukkan ke dalam belanjawan berkenaan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.