Pertimbang juga garis panduan pekerja Muslim jual rokok, vape, kerajaan diberitahu

Sebuah kumpulan antitembakau menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertimbangkan supaya garis panduan yang sedang diteliti bagi pekerja Muslim di kedai serbaneka menjual minuman beralkohol turut diperluas kepada penjualan produk tembakau dan vape.
Insert lint pada panduan: Kerajaan pertimbang peraturan jual alkohol bagi pekerja Muslim | FMT
Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Sha’ani Abdullah, berkata fatwa sebelum ini menyatakan bahawa perbuatan merokok atau menghisap vape adalah haram kerana membahayakan kesihatan.
Bagaimanapun, beliau berkata fatwa sedia ada tidak menjelaskan mengenai produk itu sendiri serta kegiatan komersial yang berkaitan dengannya.
“Hal ini menimbulkan persoalan sama ada skop panduan agama perlu diperluas untuk merangkumi penjualan, pemasaran, pengedaran dan pemudahan kegiatan komersial berkait produk tembakau dan vape,” katanya dalam satu kenyataan.
Sha’ani menambah bahawa perbezaan perlu dibuat antara fatwa mengenai perbuatan merokok dengan tanggungjawab khusus individu yang terlibat dalam rantaian bekalan komersial produk tembakau, yang menurutnya memerlukan panduan agama sewajarnya.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 1995 memutuskan bahawa merokok adalah haram kerana kesan buruknya terhadap kesihatan, manakala satu muzakarah khas pada 2015 membuat keputusan yang sama berhubung rokok elektronik dan vape.
Bagaimanapun, fatwa itu tidak melarang umat Islam yang bekerja di premis perniagaan yang menjual produk tembakau dan vape.
Jabatan Mufti Selangor pada 2024 berkata juruwang Muslim yang mengendalikan urus niaga melibatkan rokok dan produk vape dianggap syubhah (meragukan). Namun, hal itu tidak menjadikan keseluruhan gaji pekerja berkenaan haram.
Sha’ani turut menggesa perhatian diberikan kepada kegiatan merokok dan penggunaan vape di dapur serta kawasan penyediaan makanan, dengan berkata keperluan pensijilan halal meliputi keseluruhan rantaian pengeluaran dan bekalan makanan.
Beliau berkata sekatan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam turut terpakai di tempat kerja berkaitan, termasuk dapur dan kawasan penyediaan makanan.
“Perlindungan kesihatan awam tidak seharusnya terhenti di ruang makan. Pekerja yang menyediakan makanan juga berhak menikmati persekitaran kerja yang selamat dan bebas asap rokok,” katanya.
Sha’ani berkata panduan agama, integriti halal, keselamatan pekerjaan dan peraturan kesihatan awam perlu saling melengkapi.
“Kita perlu mengelakkan keadaan apabila larangan agama terhadap produk berbahaya diiktiraf dari segi prinsip, tetapi kegiatan komersial dan amalan di tempat kerja yang berkaitan dengan produk itu masih tidak ditangani dengan secukupnya,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.