Chet Singh, arkitek senyap kebangkitan industri Pulau Pinang

Bayan Baru hari ini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian di Pulau Pinang, dengan kawasan perumahan, perniagaan dan pusat komersialnya memenuhi keperluan masyarakat yang berkembang seiring dengan perluasan sektor perindustrian negeri itu.
Namun, setengah abad lalu, Pulau Pinang berdepan kemelut ekonomi. Ekonomi perdagangan tradisionalnya semakin merosot, ribuan anak muda mencari pekerjaan dan negeri itu bergelut mencari hala tuju baharu.
Penarikan status pelabuhan bebas pada 1967 memberi tamparan hebat kepada negeri itu. Menjelang penghujung dekad itu, kadar pengangguran mencecah 16%, sekali gus mewujudkan keperluan mendesak untuk mencari hala tuju ekonomi baharu.
Antara individu yang dipertanggungjawabkan untuk mencari jalan keluar ialah Chet Singh, yang meninggal dunia semalam pada usia 90 tahun.
Sebagai pengurus besar pertama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), beliau menghabiskan masa selama dua dekad membantu merealisasikan aspirasi perindustrian Ketua Menteri ketika itu, Dr Lim Chong Eu.
Lim menyediakan kepimpinan politik, manakala Chet dan rakan-rakannya bertanggungjawab melaksanakan rancangan itu serta membina jentera yang diperlukan bagi mentransformasikan ekonomi Pulau Pinang.
Ditubuhkan pada 1969, PDC diberi mandat membangunkan industri berintensifkan buruh dan menarik pelaburan asing ke negeri yang tidak lagi boleh bergantung pada sumber perdagangan tradisionalnya.
Chet dilantik sebagai pengurus besar pada 1971 ketika berusia 35 tahun. Beliau bukan ahli perniagaan, sebaliknya seorang pentadbir yang memiliki ijazah dalam bidang ekonomi dan sejarah dari Universiti Malaya di Singapura sebelum menyertai Kementerian Pertahanan pada 1960. Beliau kemudian dilantik sebagai pegawai kewangan negeri Pulau Pinang pada 1967.

Cabaran yang dihadapi bukan kecil. Pulau Pinang perlu meyakinkan syarikat antarabangsa bahawa negeri itu mampu menyediakan tanah, tenaga kerja dan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong kegiatan pembuatan pada skala yang belum pernah dialaminya.
Dalam temu bual dengan The Edge pada 2024, Chet mengimbas kembali bahawa kira-kira 50,000 anak muda sedang mencari pekerjaan pada tahun-tahun awal itu.
“Kadar pengangguran tinggi dan pekerjaan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) mampu menyediakan peluang pekerjaan yang diperlukan dalam tempoh paling singkat,” katanya.
Strategi itu berteraskan industri berorientasikan eksport dan zon perdagangan bebas, yang membolehkan syarikat asing menubuhkan kemudahan pengeluaran.
Namun, menarik pelaburan bukan sekadar menawarkan tanah. PDC perlu menjawab pertanyaan teknikal, memudahkan operasi dan meyakinkan pelabur bahawa Pulau Pinang mampu menyokong perniagaan mereka untuk jangka panjang.
Pengalaman Chet berhubung kemasukan National Semiconductor memberikan gambaran tentang pendekatan beliau dalam menangani cabaran itu.
Syarikat Amerika Syarikat (AS) itu antara syarikat multinasional terawal yang menunjukkan minat untuk melabur di Pulau Pinang. Apabila wakilnya tiba dengan senarai soal selidik teknikal yang panjang, Chet dan setiausaha PDC tidak dapat menjawab semua soalan dengan serta-merta.
Daripada memberikan jawapan yang tidak pasti, beliau meminta tempoh sehari untuk mendapatkan maklumat berkenaan.
Beliau menghubungi beberapa pihak yang boleh membantu dan kembali pada petang Isnin dengan soal selidik yang telah dilengkapkan.

Syarikat itu berpuas hati lalu memulakan operasi di Pulau Pinang. AMD dan Hewlett-Packard menyusul, manakala Intel kemudian memilih negeri itu sebagai lokasi kilang pembuatannya yang pertama di luar AS.
Pelaburan awal itu membantu meletakkan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan elektronik dan menghubungkan negeri itu dengan rantaian bekalan global.
Sebahagian besar tugas berkenaan melibatkan usaha memastikan pembangunan perindustrian dapat memenuhi keperluan pelabur. PDC perlu menyediakan tapak perindustrian serta memastikan kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik tersedia.
Seperti yang diberitahu Chet kepada The Edge, menarik pelabur merupakan satu perkara, manakala memastikan infrastruktur yang diperlukan tersedia merupakan perkara lain.
Tanggungjawab perbadanan itu juga melangkaui kawasan kilang. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, PDC melaksanakan pembangunan beberapa bandar baharu, termasuk Bayan Baru, ketika pertumbuhan industri membawa lebih ramai pekerja dan keluarga ke pulau itu.
Menjelang persaraan Chet pada 1991, skala transformasi berkenaan semakin jelas.
Profil oleh Perdana.org pada 2019 merekodkan bahawa jumlah syarikat di taman perindustrian PDC meningkat daripada kira-kira 200 pada 1976 kepada 300 pada 1987 dan 500 pada 1990. Jumlah pekerja di taman perindustrian itu pula mencecah kira-kira 115,000 orang.
Bagi ribuan keluarga, angka itu membawa makna lebih besar daripada sekadar pertumbuhan ekonomi. Ia bermakna peluang pekerjaan untuk lepasan sekolah, peluang memperoleh kemahiran baharu dan prospek membina kehidupan tanpa perlu meninggalkan Pulau Pinang.
Namun, Chet tidak gemar mengambil terlalu banyak pujian atas pencapaian itu.
Beliau sering memperkecilkan tanggapan bahawa beliau dan Lim mempunyai wawasan luar biasa.
“Orang seperti saya dan Chong Eu tidaklah berpandangan jauh seperti yang disangka ramai. Apa yang kami tahu hanyalah terdapat 50,000 anak muda yang sedang mencari pekerjaan,” katanya.
Itulah penilaian terus terang daripada seorang lelaki yang menghabiskan masa 20 tahun di tengah-tengah transformasi perindustrian negeri itu.
Menurut pandangan beliau, masalah yang perlu diselesaikan ketika itu ialah pengangguran. Beliau tidak mendakwa mampu menjangkakan sejauh mana Pulau Pinang akan berkembang akhirnya.
Chet menjauhkan diri daripada perhatian umum selepas bersara, namun kembali berkhidmat dalam kapasiti berbeza pada 2010 apabila kerajaan Pulau Pinang melantiknya menganggotai pasukan petugas bagi meneliti cara meningkatkan prestasi PDC.
Beliau terus mengikuti perkembangan kerja perbadanan itu. Pada Julai lalu, beliau mengunjungi InvestPenang bersama isteri, anak perempuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) Hari Narayanan. Kakitangan memberikan taklimat kepadanya mengenai landskap perindustrian negeri yang semakin berubah selain meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-90.
Lawatan itu membawa Chet kembali ke institusi yang pernah dibantunya bangunkan, meskipun landskap perindustrian di sekelilingnya sudah berubah sama sekali berbanding zaman awal beliau berkhidmat sebagai pentadbir.
“Seorang tokoh legenda”
Nazir Razak, anak kepada bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein, memberi penghormatan kepada Chet dengan menyifatkannya sebagai antara pengasas ‘Lembah Silikon Timur’ serta berkata Pulau Pinang amat terhutang budi kepadanya.
Pada Selasa, Nazir memuat naik gambar Chet di Instagram dan menjelaskan bahawa gambar itu dirakam pada malam sebelumnya ketika bekas pengurus besar PDC itu menonton sebuah program mengenai bapanya. Chet mendapat perhatian utama dalam program berkenaan dan Nazir menyifatkannya sebagai seorang tokoh legenda.
Chet sering mengiktiraf peranan Razak dalam membantu memulihkan Pulau Pinang daripada krisis pengangguran yang melanda negeri itu pada penghujung 1960-an dan awal 1970-an.

Sebagai perdana menteri, Razak menyokong penubuhan zon perdagangan bebas negeri itu, meskipun terdapat kebimbangan dalam kerajaan persekutuan bahawa langkah berkenaan mungkin menjadi usaha untuk mengembalikan status pelabuhan bebas Pulau Pinang melalui cara lain.
Beliau melihat peluang untuk membawa pengeluar asing ke negeri itu dan menggunakan kuasanya sebagai pengerusi Majlis Gerakan Negara (Mageran) untuk memastikan cadangan berkenaan dilaksanakan.
Sokongan beliau turut membawa kepentingan politik: Pulau Pinang ketika itu ditadbir pembangkang, namun Razak tidak membiarkan perkara itu menghalang pelaksanaan rancangan yang diyakininya mampu memulihkan ekonomi negeri berkenaan.
Sokongan itu membantu membuka jalan kepada program perindustrian yang kemudiannya dibangunkan oleh pentadbiran Lim dan PDC.
Ekonomi Pulau Pinang kini jauh berkembang melangkaui kilang-kilang awal dan barisan pemasangan. Namun, asas pembangunan itu dibina ketika negeri berkenaan berdepan krisis ekonomi dan ribuan anak muda memerlukan pekerjaan.
Sumbangan Chet sebahagian besarnya dilakukan tanpa mendapat perhatian politik. Beliau membantu membina sebuah institusi, berusaha mendapatkan keyakinan pelabur antarabangsa dan memastikan keperluan praktikal pembangunan perindustrian diberi perhatian.
Hari ini, kilang dan bandar baharu yang berkembang hasil usaha itu menjadi sebahagian daripada landskap kehidupan seharian di Pulau Pinang. Bagi generasi yang tidak pernah mengenali Pulau Pinang dalam keadaan berbeza, mungkin sukar untuk membayangkan betapa tidak menentunya masa depan negeri itu suatu ketika dahulu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.