Jangan wariskan krisis pelarian kepada kerajaan, generasi akan datang, kata Lim

Malaysia perlu mencari penyelesaian berkekalan terhadap krisis pelarian Myanmar supaya masalah yang berlarutan sejak berdekad lalu tidak terus diwarisi pentadbiran dan generasi akan datang, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.
Wakil rakyat DAP itu berkata beliau menyokong usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim berunding dengan Myanmar bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.
“Masalah berlarutan selama beberapa dekad memerlukan tindakan,” katanya dalam kenyataan sambil menekankan keperluan penyelesaian jangka panjang supaya pentadbiran dan generasi akan datang tidak terus berdepan masalah sama.
“Anak-anak kita sepatutnya mewarisi hasil kepimpinan kita, bukan akibat daripada kelewatan kita.”

Lim berkata rundingan dengan Myanmar memberi Malaysia saluran untuk mendesak pihak berkuasa negara itu mengambil tanggungjawab serta memastikan perlindungan sewajarnya diberikan kepada mereka yang kembali.
“Saya menyokong ketegasan Anwar bahawa sebarang penghantaran pulang mesti melindungi keselamatan dan maruah pelarian, dengan perlindungan jelas bagi memastikan komitmen diplomatik diterjemahkan kepada perlindungan yang berkesan,” katanya.
Menurut data UNHCR setakat akhir Februari lalu, kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan agensi itu di Malaysia, dengan 193,800 daripadanya berasal dari Myanmar.
Lim berkata jumlah itu menunjukkan Malaysia sudah memikul tanggungjawab besar dalam menangani krisis berkenaan dan negara memerlukan sokongan bermakna daripada masyarakat antarabangsa.
Beliau turut merujuk pendekatan beberapa negara maju dalam menangani isu migrasi, termasuk perjanjian “one-in, one-out” antara United Kingdom dan Perancis yang diperkenalkan pada Ogos tahun lalu.
Perjanjian itu melibatkan penghantaran pulang pendatang tertentu yang tiba di Britain menggunakan bot kecil ke Perancis, dengan laluan kemasukan sah ke Britain disediakan sebagai pertukaran.
Lim turut memetik langkah Jerman menyokong kepulangan secara sukarela ke Syria, termasuk menyediakan khidmat kaunseling bagi membantu mereka memahami keadaan di negara itu dan membuat persediaan untuk kembali.
Semalam, Malaysia memulakan fasa pertama program penghantaran pulang kira-kira 1,500 pelarian Myanmar, yang merupakan sebahagian daripada kira-kira 5,000 orang yang dilaporkan bersetuju untuk pulang secara sukarela.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.