Bekas Exco Terengganu meninggal dunia

Bekas Exco Terengganu, Roslee Daud meninggal dunia di Hospital Dungun, pada 5.14 pagi tadi pada usia 66 tahun.
Anak Allahyarham, Mohd Hazwan, 40, berkata bapanya mengadu sesak nafas ketika berada di rumah mereka di Bukit Besi, di sini kira-kira 4.30 pagi sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Besi dan kemudian dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, beliau berkata pegawai perubatan mengesahkan bapanya meninggal dunia sejurus tiba di hospital tersebut.
“Kesihatan ayah saya mula merosot sejak Ogos lepas dan beliau kerap mendapat rawatan jantung di Hospital Dungun dan HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah),” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Dungun.
Bekas Adun Bukit Besi, menghidap penyakit jantung dan menjalani prosedur angioplasti koronari di HSNZ di Kuala Terengganu pada 1 Okt lepas.
Roslee meninggalkan dua isteri dan 10 anak berusia antara 22 hingga 42 tahun.
Hazwan berkata jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi selepas solat Zuhur, hari ini.
Roslee yang mewakili Barisan Nasional (BN), mula dipilih sebagai Adun Bukit Besi dalam PRU13 pada 2013.
Beliau dilantik menganggotai barisan Exco kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar ketika itu Ahmad Said, dengan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi.
Pada 2016, Roslee memegang portfolio Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam pentadbiran kerajaan negeri.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.