Presiden Myanmar diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Presiden Myanmar Min Aung Hlaing yang sedang dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia bermula semalam, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan beliau kira-kira 9 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Min Aung Hlaing kemudiannya memeriksa pasukan kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Muhammad Nur Addeen Mustaza.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Luar, Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani; barisan Jemaah Menteri, diplomat asing serta pegawai kanan kerajaan.
Selepas upacara sambutan, Min Aung Hlaing menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar, diikuti mesyuarat dua hala membabitkan menteri kanan serta pegawai kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan beberapa isu utama antara dua negara, antaranya usaha pemulangan warga Myanmar daripada semua kumpulan etnik yang berada di Malaysia secara tidak sah, dengan proses itu dilaksanakan secara sukarela, bermaruah dan selamat.
Kedua-dua pemimpin turut dijangka meneliti usaha yang sedang dilaksanakan melalui mekanisme ASEAN.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.