Kapal bawa 243 penumpang, kru hilang di Laut Jawa

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas kapal penumpang, Virgo Transport 8 yang membawa 243 penumpang serta anak kapal dilaporkan hilang di Laut Jawa, Indonesia pada awal Ahad, ketika dalam pelayaran dari Surabaya di Jawa Timur ke Banjarmasin di Kalimantan Selatan.
Ketua Pejabat SAR Banjarmasin I, Putu Sudayana, berkata pihaknya menerima makluman kehilangan kapal itu pada 4.10 pagi selepas terputus hubungan komunikasi kira-kira 2 pagi ketika cuaca buruk di Laut Jawa.
“Kami menerima laporan terputus hubungan dengan kapal itu dan segera mengerahkan anggota serta sebuah kapal pencarian ke arah anggaran posisi terakhirnya,” katanya dalam kenyataan.
Putu berkata, kapal itu berlepas dari Surabaya pada Sabtu dan kali terakhir diketahui berada kira-kira 80 batu nautika dari pangkalan SAR di Banjarmasin.
Jelasnya, sebuah helikopter dan dua kapal penyelamat dikerahkan, dengan pasukan penyelamat menyelaras usaha bersama agensi lain untuk mengesan kapal itu.
Katanya, operasi SAR turut membabitkan tentera dan polis Indonesia, pihak berkuasa pelabuhan Banjarmasin serta ejen tempatan kapal berkenaan.
Beliau menggesa keluarga penumpang, kru kapal itu dan orang ramai kekal tenang.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.