2 pemimpin DAP cabar MCA tinggalkan BN, guna logo sendiri

Dua pemimpin DAP mencabar MCA mengambil tindakan lebih drastik bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka selepas meninggalkan majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi PRN Melaka semalam.
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, mencabar MCA keluar daripada BN sepenuhnya, manakala Setiausaha Pemuda DAP, Lim Chun Weng, mencabar parti itu bertanding PRN Melaka menggunakan logo sendiri.
Chong berkata, episod itu memperlihatkan kedudukan MCA yang memalukan dalam BN, apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi parti berkenaan diberikan kepada parti lain sebarang rundingan terlebih dahulu.
“Apakah bukti yang lebih jelas MCA tiada suara bermakna dalam BN?
“Umno menentukan siapa yang mendapat kerusi. MCA pula dijangka hadir, menerima keputusan itu dan memberikan tepukan.
“Persetujuan presiden MCA sendiri nampaknya dianggap perkara remeh yang boleh diketepikan,” katanya dalam kenyataan.
Lim dalam kenyataan berasingan berkata, MCA sepatutnya bertanding PRN Melaka menggunakan logo sendiri. bukannya lambang BN demi menjaga maruah parti itu.
Jika tidak, katanya, tindakan pemimpin MCA meninggalkan majlis semalam tidak lebih daripada sekadar lakonan politik untuk meraih undi simpati.
“Jika MCA benar-benar merasakan BN tidak menghormatinya dan maruah MCA telah dipijak, maka jangan lagi bergantung kepada lambang dacing BN.
“Kalau benar ada maruah, gunakan logo MCA sendiri dan bertandinglah di kerusi tradisi MCA yang diserahkan kepada Perikatan Nasional.
Katanya, jika MCA akhirnya menerima keputusan BN dan tetap bertanding menggunakan lambang gabungan itu, kepimpinan parti berkenaan perlu berhenti menggambarkan diri sebagai mangsa.
Presiden MCA, Wee Ka Siong, mengetuai tindakan meninggalkan majlis BN di Melaka malam tadi ketika gabungan diterajui Umno itu mengumumkan calonnya bagi PRN 14 Nov ini.
Wee dilaporkan berkata, kerusi yang pernah ditandingi parti itu telah diberikan kepada parti lain tanpa sebarang rundingan, meskipun MCA merupakan komponen BN sejak sekian lama.
BN mengumumkan 21 calon, termasuk Naib Presiden MCA, Lim Ban Hong dan exco Ngwe Hee Sem untuk mempertahankan kerusi Kelebang serta Machap Jaya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.