Bersatu akan hilang pengaruh jika terus kekal dalam PN, kata penganalisis

Penganalisis berpendapat Bersatu tidak mampu terus berlengah dalam menentukan masa depannya bersama Perikatan Nasional (PN) kerana berisiko menjejaskan kedudukan politiknya dan sokongan di peringkat akar umbi.
Asrul Sani daripada Asia Group berkata, Bersatu mengambil masa terlalu lama untuk menerima hakikat PN tidak lagi menawarkan masa depan politik berdaya maju kepadanya.
Tegasnya, PAS telah memutuskan hubungan dengan Bersatu, manakala Wawasan secara efektif mengambil alih peranan sebagai rakan nasionalis Melayu pilihan parti Islam itu.
“Bersatu patut meninggalkan PN dan membina masa depan di luar gabungan itu. Terus kekal dalam PN hanya berisiko menyebabkan lebih ramai ahli keluar parti, melemahkan semangat akar umbi serta ketidakpastian berterusan berhubung agihan kerusi dan kerjasama pilihan raya, manakala PAS serta Wawasan mengambil alih ruang politiknya.”
Beliau mengulas tindakan Jawatankuasa Bersatu Kangar, termasuk kepimpinan Pemuda dan Wanita serta “90 ketua cawangan” meninggalkan parti itu untuk menyertai Wawasan.
Ia menyusul sehari selepas Timbalan Ketua Bersatu Padang Besar, Ramzi Udi bersama 19 lagi pemimpin dan ahli parti meninggalkan parti itu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.
Asrul berkata, semakin lama Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengekalkan parti itu terikat dengan PN, semakin jelas ia kelihatan tersekat dan gagal menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik.
Jelasnya, meninggalkan PN akan menyebabkan Bersatu kehilangan jenama gabungan itu serta akses kepada jentera akar umbi PAS yang ampuh, selain ia akan berdepan pertembungan pelbagai penjuru tanpa rakan kongsi jelas.
Tetapi, katanya, jika Bersatu memilih meninggalkan PN, parti itu berpeluang mendefinisikan semula identitinya, meneroka kerjasama baharu serta memfokuskan negeri dan kawasan lebih realistik untuk dimenangi.
“Jentera akar umbi mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina dan tidak boleh diwujudkan secara tergesa-gesa menjelang pilihan raya. Risiko meninggalkan PN memang besar, tetapi risiko jangka panjang ialah tidak relevan dari segi politik.”
Apa strategi Muhyiddin?
Asrul berkata, Muhyiddin mungkin mempunyai beberapa strategi tersembunyi yang berpotensi menggugat rancangan pilihan raya PAS, tetapi PN tidak patut menjadi tumpuan strategi Bersatu.
“Menggunakan kelebihan itu demi menyukarkan langkah PAS atau Wawasan hanya membuang masa dan sumber tanpa membina masa depan politik berdaya maju untuk partinya.”
Jelasnya, Bersatu tidak boleh membina masa depannya dengan cuba menyaingi PAS atau Umno dalam hal ehwal Melayu kerana dua parti itu mempunyai akar lebih kukuh serta identiti lebih jelas, manakala Bersatu hanya mampu pergi sejauh itu dan mengehadkan daya tarikannya kepada kaum lain.
“Muhyiddin perlu mengemukakan visi meyakinkan untuk negara, termasuk ekonomi, tadbir urus dan masa depan Malaysia,” katanya sambil menambah meninggalkan PN tanpa strategi lebih luas hanya akan mengubah kedudukan Bersatu tanpa menangani masalah asas berkaitan identiti dan hala tujunya.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berpendapat, Muhyiddin masih mempunyai urusan belum selesai, sebab itu Bersatu masih bersama PN.
Katanya, Muhyiddin mungkin cuba menunjukkan beliau masih berkuasa menentukan hala tuju Bersatu dan PN, walaupun berisiko merosakkan gabungan itu.
“Tindakan PAS setakat ini menunjukkan parti itu tidak lagi menganggap Bersatu sebagai sebahagian daripada PN,” katanya sambil merujuk pengecualian Bersatu daripada perbincangan agihan kerusi antara PN dan Barisan Nasional bagi PRN Melaka.
Bersatu turut mendakwa PAS meminggirkan parti itu sebelum PRN Negeri Sembilan dengan tidak mempelawanya menyertai mesyuarat PN bagi rundingan kerusi.
Bersatu bertanding menggunakan logonya sendiri dan tewas di semua 22 kerusi ditandinginya dalam PRN Negeri Sembilan. PN pula memenangi tujuh daripada 36 kerusi, manakala BN menang 18 kerusi, dengan dua gabungan itu kemudiannya membentuk kerajaan negeri.
Azmi berkata, keputusan PRN Negeri Sembilan menunjukkan jenama PN masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengundi, yang menyukarkan Bersatu meninggalkan gabungan itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.