The Daily Newsstand · Free, Always
Friday, September 11, 2026

Zahid masih aset Umno, namun banyak isu ‘tertunggak’, kata penganalisis

Translate

Walaupun Umno meraih kemenangan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, penganalisis beranggapan ujian lebih besar bakal dihadapi Presiden Zahid Hamidi adalah mengekalkan momentum parti di sebalik kontroversi dan persoalan mengenai hala tujunya.

Sivamurugan Pandian

Sivamurugan Pandian.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, berkata Zahid masih aset kepada Umno disebabkan cengkaman kukuh dalam parti, kebolehannya menguruskan pakatan politik, dan kejayaan memastikan Barisan Nasional (BN) kekal relevan sebagai rakan utama dalam kerajaan persekutuan.

Namun, beliau memberi amaran isu politik lalu Ahli Parlimen Bagan Datuk itu semakin meningkat.

Sivamurugan berkata, isu yang mampu merosakkan imej Umno termasuk pertikaian baru-baru ini mengenai perbelanjaan di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, kontroversi melibatkan Tabung Haji dan Felda, selain dakwaan parti berkenaan terlibat dalam kemelut pemerintahan di Negeri Sembilan.

Katanya, tidak adil menyalahkan Zahid untuk semua isu itu memandangkan ada yang berlaku sebelum kepimpinannya, tetapi mengakui ia tetap menyumbang kepada isu politik dihadapinya.

Menurutnya, apa yang dapat membantu Zahid adalah prestasi BN dan Umno pada dua pilihan raya negeri, selain membantu Umno bangkit daripada prestasi buruknya pada PRU 2022 dan PRN Sabah 2025.

“Zahid mengembalikan kedudukan Umno, namun cabarannya adalah untuk mengekalkan momentum.

“Kontroversi terbaru berisiko menjejaskan semula imej Umno. Persoalan kini adalah sama ada beliau boleh memastikan isu-isu tertunggak ini tidak merosakkan kejayaan yang setakat ini dikecapi,” menurut Sivamurugan.

Ke mana arah tujuan Umno?

Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia, berkata kemenangan terbaru Umno mungkin menaikkan harapan untuk kembali bangkit , namun masih timbul persoalan mengenai hala tuju parti.

jayum jawan

Jayum Jawan.

Katanya, rakan sekutu yang bakal dipilih BN pada PRU16 masih tidak jelas. BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, sedangkan masih bersekutu dengan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan persekutuan.

Jayum memberi amaran kedudukan berbeza-beza ini mampu membuatkan penyokong keliru berkait hala tujunya.

“Beliau juga dilihat tiada strategi jelas bagaimana mahu mengekalkan gelombang biru yang dilihat di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Menurutnya, Zahid juga berdepan cabaran memimpin parti yang masih dibelenggu kontroversi termasuk melibatkan segelintir pemimpin lalu dan masa kini.

Katanya, dakwaan salah laku melibatkan tokoh Umno mampu menjejaskan imej parti dalam kalangan penyokong sendiri, khususnya kerana ramai yang memegang jawatan penting dalam institusi kini dalam pemerhatian.

Syaza Shukri.

Syaza Shukri.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata Zahid menunjukkan bersedia mempertahankan kepentingan Umno walaupun membawa parti itu dalam kerjasama bersama PH di peringkat persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, masih ada tanda tanya mengenai pendirian sebenar Zahid terhadap kerajaan perpaduan.

Syaza berkata, kontroversi membelenggu Umno baru-baru ini membangkitkan persoalan mengenai hala tuju parti itu susulan kekalahan teruk dialami pada PRU 2022.

“Adakah Umno melakukan reformasi seperti dijanjikan selepas PRU 2022 atau adakah segalanya sama saja macam biasa?” katanya.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.