Penganggur didakwa bunuh penuntut Polisas

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) pada 6 Okt lalu.
F Alan Stevekumar, 19, yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Tuan Ruzaini Tuan Lah, namun tiada pengakuan direkodkan.
Alan Stevekumar didakwa membunuh M Elisa Jonova, 19, di sebuah rumah di Jalan Air Putih di sini, antara 4.32 hingga 4.55 pagi 6 Okt lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.
Pengarah Pendakwaan Pahang, Sabri Othman memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan bedah siasat dan ujian toksikologi.
Mahkamah menetapkan 12 Nov ini untuk sebutan semula kes.
Pada 6 Okt lalu, Elisa Jonova ditemui maut dipercayai dibunuh teman lelakinya di sebuah rumah di Jalan Air Putih pada 4.32 pagi.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.