Malaysia di landasan tepat bawah pentadbiran kerajaan Madani, kata ahli ekonomi

Malaysia berada pada landasan ekonomi yang betul di bawah kerajaan semasa, berbeza dengan Eropah yang masalah politik dan ekonominya boleh dijadikan pengajaran tentang perkara yang tidak patut dilakukan, kata seorang ahli ekonomi.
Geoffrey Williams berkata ekonomi Malaysia semakin rancak dengan pertumbuhan kukuh dan kemajuan teknologi, sambil merujuk kepada pelaburan negara dalam kecerdasan buatan (AI) dan pusat data, di samping kekuatan berterusan sektor industri tradisional.
“Saya melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang amat rancak, dan ekonominya telah mencapai kejayaan besar di bawah kerajaan semasa,” katanya pada Forum Ketua Pegawai Eksekutif dan Pemimpin Perniagaan Antarabangsa 2026 di sini hari ini.
Williams turut mengiktiraf rakyat Malaysia sendiri atas pencapaian ekonomi negara, sambil menegaskan bahawa kejayaan itu tidak seharusnya dikaitkan semata-mata dengan pelabur asing atau pelaburan besar dalam teknologi.
“Andalah yang telah menjayakan ekonomi negara ini,” katanya kepada hadirin, sambil menambah bahawa pencapaian serupa turut dapat dilihat di seluruh Asia.
Williams kemudian membandingkan keadaan itu dengan kesukaran sosial dan ekonomi yang diperhatikannya ketika lawatan baru-baru ini ke United Kingdom (UK), apabila beliau melihat orang ramai tinggal di dalam khemah di sepanjang jalan yang suatu ketika dahulu sibuk dengan perniagaan runcit.
“Ini satu bencana. Benar-benar satu bencana,” katanya sambil mengkritik hala tuju ekonomi Britain dan cara negara itu mengendalikan Brexit.
UK mengundi untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) menerusi referendum pada 2016 dan secara rasmi meninggalkan blok itu pada Januari 2020, dengan aturan perdagangan baharu berkuat kuasa pada 2021.
Pertumbuhan ekonominya sejak itu dibatasi oleh halangan perdagangan yang lebih tinggi dan pelaburan yang lebih lemah.
Satu kajian yang diterbitkan Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan Amerika Syarikat menganggarkan Brexit telah mengurangkan keluaran ekonomi UK sebanyak 6% hingga 8% menjelang 2025 berbanding keadaan sekiranya negara itu kekal dalam EU.
Williams turut menyuarakan kebimbangan terhadap pergolakan sosial dan keganasan di beberapa bahagian Eropah, sambil berkata Malaysia dan ekonomi Asia lain perlu mengekalkan hubungan masyarakat yang secara relatifnya aman, berasaskan muafakat dan inklusif.
“Melihat apa yang sedang berlaku di Eropah, sudah tiba masanya untuk kita mengambil iktibar tentang perkara yang tidak patut dilakukan (dalam mentadbir negara),” katanya.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 6% pada suku kedua 2026, manakala anggaran awal menunjukkan pertumbuhan sederhana kepada 5.3% pada suku ketiga.
Sebagai perbandingan, ekonomi UK berkembang 1.9% tahun ke tahun pada suku ketiga, menurut angka yang dikeluarkan Pejabat Statistik Kebangsaan negara itu pada 12 Nov.
Memastikan lebih ramai menikmati manfaat pertumbuhan
Ahli ekonomi itu berkata cabaran lebih besar bagi Malaysia ialah memastikan kejayaan ekonominya diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat yang dapat dirasai.
Williams berkata penekanan lebih besar perlu diberikan kepada pengagihan kekayaan yang dijana melalui kegiatan ekonomi supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati kemakmuran negara.
“Kita sudah tahu cara menjana nilai tambah. Kini, kita perlu mencari jalan untuk mengagihkannya semula dan memastikan seramai mungkin rakyat dapat menikmati manfaat daripada nilai tambah itu.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.