AGC tolak representasi ubah wang haram bekas CEO GISBH, 3 akauntan

Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bekas CEO GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) serta tiga bekas akauntan syarikat itu untuk menggugurkan 331 pertuduhan pengubahan wang haram.
“Dukacita, representasi telah ditolak dan perkara itu telah dimaklumkan kepada peguam semua tertuduh, maka, kami mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk perbicaraan kes berkenaan,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Ashrof berkata pihak pendakwaan merancang memanggil 15 hingga 20 saksi untuk memberi keterangan dan mencadangkan perbicaraan berlangsung selama enam hingga lapan hari, lapor Sinar Harian.
Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili semua tertuduh berkata, pihak pembelaan akan menghantar representasi kedua kepada AGC bulan depan.
“Kami akan memasukkan representasi baharu untuk dipertimbangkan supaya diberikan tawaran kompaun,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Fatimah Zahari menetapkan perbicaraan kes bermula 26 hingga 28 April, 28 hingga 30 Jun dan 6 hingga 8 Julai 2027.
Semua tertuduh itu adalah bekas CEO, Nasiruddin Mohd Ali, 67, serta tiga bekas akauntannya iaitu pasangan suami isteri, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, dan Mohd Khushairi Osman, 55, serta Hamimah Yakub, 74.
Nasiruddin berdepan 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70, manakala Hamimah dengan 95 pertuduhan (RM11,428,811.20), Khushairi pula berdepan 91 pertuduhan (RM11,958,561.10) dan Asmanira sebanyak 68 pertuduhan (RM4,688,205.01).
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.