RUU anti-Ali Baba dibentang tahun depan, kata menteri

Kerajaan menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) anti-Ali Baba di Parlimen menjelang 2027 bagi membendung ketirisan ekonomi dan amalan ‘rent-seeking’, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir.
Katanya, kajian kementerian mendapati undang-undang sedia ada, termasuk undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT), mempunyai kelemahan sehingga gagal membendung pemindahan lesen dan kontrak secara tidak sah.
“Kementerian Ekonomi sedang melaksanakan kajian bagi menyediakan kerangka kawal selia dan cadangan perundangan berkaitan untuk menangani amalan ‘rent-seeking’ dan fenomena ‘Ali Baba’ yang boleh menjejaskan kecekapan pasaran serta produktiviti negara,” katanya.
Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai status dan garis masa pembentangan RUU itu serta usaha membanteras amalan berkenaan.
Akmal berkata, amalan menjual atau memindahkan lesen kepada pihak lain melalui kaedah ‘Ali Baba’ ketika ini tidak ditakrifkan sebagai kesalahan jenayah, sekali gus memerlukan undang-undang baharu bagi membolehkan tindakan diambil.
Katanya, kerajaan sedang memperhalusi pelbagai pilihan penguatkuasaan, termasuk tindakan sivil dan jenayah, bersama pihak berkepentingan bagi memastikan undang-undang itu mempunyai kesan pencegahan.
Menurutnya, bentuk hukuman termasuk denda atau penjara hanya akan ditentukan selepas kerangka perundangan itu dimuktamadkan dengan mengambil kira semua pandangan berkaitan.
Kajian itu turut melibatkan pemain industri, agensi penguatkuasaan, kementerian berkaitan, kerajaan negeri dan PBT sebelum cadangan dibawa ke Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara serta Jemaah Menteri.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.