Mangsa banjir di Perak meningkat

Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat ketara kepada 1,110 orang daripada 392 keluarga pagi ini berbanding 191 orang daripada 58 keluarga petang semalam, manakala Selangor mencatatkan sedikit penurunan.
Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan daerah Larut, Matang dan Selama kembali dilanda banjir dengan pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 282 orang.
Ia diikuti Dewan Orang Ramai (DOR) Sungai Relong (93 orang), Masjid Ali Rouse Kampung Ulu Sepetang (91), Dewan Changkat Larah (73), SK Batu Hampar (71), DOR Kampung Simpang Halt (59), SK Matang Gelugor (58), Dewan Serbaguna Taman Kaya (56), SK Matang (49), Masjid Al Wusta (41), Masjid Al Hidayah (25) serta DOR Air Kuning, Asam Kumbang (13).
Daerah Kerian turut dilanda banjir semula dengan PPS SK Bukit Merah menempatkan 13 orang daripada tiga keluarga, manakala PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di daerah Hilir Perak, masih menempatkan 186 orang daripada 56 keluarga.
Sementara itu, di Selangor 1,371 mangsa daripada 362 keluarga masih berlindung di enam PPS di daerah Kuala Selangor pagi ini berbanding 1,399 orang daripada 370 keluarga petang semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS SK Parit Mahang menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 399 orang, diikuti SK Dato’ Maharaja Lela (396), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (280), DOR Bukit Kuching Tengah (116), Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (114) dan SRA Batu 8 Ijok (66).
Di Pulau Pinang 95 mangsa daripada 26 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kechil di Nibong Tebal selepas kediaman mereka dilanda banjir susulan hujan lebat selama beberapa jam malam tadi melibatkan dua kawasan iaitu Jalan Sekolah dan Kampung Sethu.
Penolong Pengarah Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata jumlah mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 23 lelaki dewasa, 33 perempuan dewasa, 19 kanak-kanak lelaki, 13 kanak-kanak perempuan, dua bayi lelaki dan lima bayi perempuan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.