PunchAbia APC candidate denies alliance rumoursThe Jerusalem PostAfter Morocco, Tokyo ticket troubles, Arkia launches discounted eSIM deal for passengersCNN TürkSON DAKİKA | Van'da feci kaza! TIR ile minibüs çarpıştı: 9 ölü, 5 yaralıInquirerTwo arrested in Dipolog buy-bust, shabu worth P340,000 seizedZDF heuteEntdecken Sie das ZDF-NachrichtenstudioSoompiWatch: A2O LITE Takes 10th Win For “NEON” On “Music Core”; Performances By BLACKPINK’s Jisoo, RESCENE, TREASURE, And MoreDaily MailRussell Brand is left 'cowering in fear' in his cell as hundreds of prisoners chant: 'There's a Brand new n***e on the wing!'The Indian ExpressGokul chairman poll: CM says quorum is a must, Satej Patil says not requiredEl ComercioResultados Loto Plus Sorteo 3933: controlar los números del sábado 7 de noviembreGMA NewsTrump asks UFC chief Dana White to be White House press secretaryColliderAnya Taylor-Joy’s 148-Minute Sci-Fi Blockbuster Officially Wins Over Fans on StreamingMalay MailPolice round up nine suspects after 19-year-old killed in Sibu
The Daily Newsstand · Free, Always
Sunday, November 8, 2026

Politik semakin polytropos, semeja di Putrajaya, bertembung di peti undi

Translate

Bayangkan seorang pengundi melihat dua pemimpin duduk semeja mengurus negara, kemudian menyaksikan parti mereka berlawan dalam PRN.

Di Putrajaya, kerjasama dipertahankan atas nama kestabilan. Di negeri, masing-masing meminta mandat untuk mengalahkan rakan sendiri. Keadaan yang sukar dihadam ini semakin menjadi kebiasaan.

Pengundi berhak bertanya bagaimanapendirian itu diselaraskan. Apakah perbezaan dasar yang menyebabkan mereka bersaing di negeri? Apakah persamaan yang membolehkan mereka mentadbir bersama di persekutuan? Lebih penting, apakah manfaatnya kepada rakyat?

PRN Melaka meneruskan persoalan yang muncul di Johor dan Negeri Sembilan. Hubungan sekutu dan lawan berubah mengikut gelanggang, membangkitkan persoalan tentang prinsip, nilai dan pertanggungjawaban.

Politik banyak haluan, pengundi menuntut penjelasan

Polytropos berasal daripada kata Yunani polytropos, yang antara maknanya ialah ‘beralih ke pelbagai arah’. Dikaitkan dengan Odysseus dalam tradisi Yunani, istilah ini merangkumi sifat semua boleh, bijak menyesuaikan diri serta licik, bergantung pada konteks.

Dalam tulisan ini, polytropos menjadi metafora bagi keanjalan hubungan politik. Sesebuah parti boleh bekerjasama dengan satu pihak di persekutuan, bersaing dengannya di negeri, dan membina persefahaman dengan pihak lain.

Coraknya semakin ketara. Di Johor, sokongan terpilih PAS kepada BN disertai penafian mengenai kerjasama baharu. Di Negeri Sembilan, BN dan PN membentuk kerajaan bersama. Menjelang PRN Melaka, BN mengumumkan PAS sebagai rakan strategik dengan gerak kerja dan manifesto bersama.

Keanjalan diperlukan dalam demokrasi berbilang parti, tetapi asasnya mesti diterangkan. Bayangkan parti yang berkempen menolak pihak tertentu atas alasan prinsip, kemudian bekerjasama selepas pilihan raya. Pengundi berhak mengetahui perkara yang dipersetujui dan kompromi yang dibuat.

Begitu juga apabila tuntutan ketelusan ketika menjadi pembangkang dilonggarkan setelah memasuki kerajaan. Yang dipersoalkan ialah perubahan ukuran pertanggungjawaban mengikut kedudukan.

Polytropos menjadi masalah apabila setiap perubahan dipertahankan sebagai kebijaksanaan strategi tanpa menjelaskan kesannya terhadap dasar, mandat, dan kepercayaan.

Sentimen direkayasa, kerasionalan diketepikan

Ada harga yang ditanggung masyarakat apabila pemimpin menukar haluan setelah membina sokongan melalui permusuhan.

Pemimpin boleh bersalaman dalam sebuah majlis. Penyokong yang sudah menuduh jiran mengkhianati bangsa atau agama belum tentu semudah itu memulihkan hubungan.

Manfaat percaturan dinikmati di meja rundingan, tetapi kesan permusuhan ditanggung dalam kehidupan seharian. Lebih sukar memulihkan hubungan apabila tuduhan terus beredar di media sosial meskipun pemimpin sudah berdamai.

Sentimen boleh diulang dan diperbesar, malah gambaran sokongan terhadapnya boleh direka.

Sekiranya dapatan laporan Anthropic pada September 2026 tepat, operasi menyasarkan Malaysia melibatkan kira-kira 1,000 akaun palsu di platform X dan sebuah laman berita rekaan.

Menurut laporan itu, data bancian serta berjuta-juta rekod pengundi digunakan untuk membina sistem penyasaran merangkumi 222 kawasan Parlimen, termasuk melalui isu kaum, agama, dan institusi diraja.

Anthropic menyatakan tiada bukti operasi itu berjaya menjangkau komuniti pengguna sebenar di luar rangkaiannya. Namun, keupayaan membina operasi sedemikian sudah cukup membimbangkan.

Tuduhan sama melalui sepuluh akaun boleh kelihatan seperti pengesahan sepuluh sumber. Kajian Gordon Pennycook dan rakan-rakannya pada 2018 mendapati peserta cenderung menilai tajuk berita palsu sebagai lebih tepat apabila pernah melihatnya. ‘Saya sudah banyak kali dengar’ boleh mengambil tempat ‘apakah buktinya’?

Apabila pemimpin menukar pendirian, tuduhan yang membantu mereka meraih sokongan tidak semestinya hilang. Atas alasan apa tuduhan dibuat dahulu, dan mengapa kerjasama diperlukan sekarang?

Peti undi kekal, hakikat demokrasi terhakis

Pada 22 Okt 2026, RTM melaporkan kenyataan polis mengenai dua laporan yang dibuat pada 14 Okt berhubung dakwaan terhadap DAP. Satu menyentuh zon bebas kenderaan, satu lagi mengenai sekolah agama untuk komuniti Rohingya. Siasatan masih berjalan ketika dilaporkan. Kesahihan dakwaan perlu ditentukan berdasarkan bukti.

Lihat persoalan zon bebas kenderaan dari sudut peniaga. Adakah pelanggan lebih mudah datang atau semakin sukar mencari tempat letak kereta? Bagaimanakah barang dipunggah? Adakah penduduk diajak berbincang sebelum keputusan dibuat? Soalan sebegini menguji kefahaman calon terhadap kesan dasar.

Namun, jika perbualan dibingkaikan sebagai ancaman antara kelompok, peniaga mungkin tidak mendapat jawapan sehingga ke hari mengundi.

Akibatnya, demokrasi boleh kehilangan makna meskipun prosedurnya kekal. Pengundi bebas memilih, tetapi sejauh mana bermaknanya kebebasan itu jika mereka disogokkan alasan untuk membenci dan sukar memperoleh maklumat untuk menilai?

Kita tidak boleh berundur ke zaman sebelum media sosial. Namun, kita boleh menuntut kejujuran kempen, ukuran bukti yang sama dan tawaran dasar yang boleh dinilai. Tuntutan ini sebahagian daripada reformasi politik. Mutu demokrasi bergantung pada pilihan bermaklumat dan keupayaan rakyat mempertanggungjawabkan wakil mereka.

Reformasi menuntut piawaian politik lebih tinggi

Janji reformasi perlu diuji sejak kempen berlangsung. Adakah calon menjelaskan pilihan dasar atau mengalihkan perhatian kepada kelemahan lawan? Adakah perundingan parti menghasilkan agenda pentadbiran atau sekadar pembahagian kerusi dan jawatan?

Ketika tenaga dihabiskan untuk menentukan siapa bergabung dengan siapa, masalah rakyat tersisih. Politik pembangunan bermula dengan masalah rakyat, kemudian menentukan bagaimana kuasa dan sumber digunakan untuk menyelesaikannya. Pembinaan parti dan gabungan mendapat maknanya apabila membolehkan tugas itu dilaksanakan.

Ini bukan soal memilih yang kurang buruk. Jika kelemahan lawan memadai untuk memperoleh mandat, apakah dorongan parti menawarkan calon lebih baik? Pihak yang pernah memerintah perlu menjelaskan rekodnya. Pihak yang mahu mengambil alih perlu menunjukkan bagaimana cadangannya dilaksanakan, dibiayai dan dinilai.

Dalam politik polytropos, perubahan haluan kadangkala perlu. Pemimpin tetap wajib menjelaskannya kepada mereka yang pernah diminta mempertahankan pendirian sebelumnya.

Implikasinya menjangkau PRU akan datang. Parti perlu menjelaskan agenda bersama, batas kompromi dan asas rundingan selepas pilihan raya. Tanpa kejelasan itu, pengundi sukar mengetahui susunan pentadbiran yang mungkin lahir daripada undi mereka.

Pengundi berhak mengetahui siapa yang bertanggungjawab apabila sesuatu dasar gagal. Kerjasama yang kabur boleh membolehkan setiap parti menuntut penghargaan atas kejayaan sambil meletakkan kegagalan pada rakan sendiri.

Menjelang PRU, penjelasan tentang hubungan antara parti mesti disertai komitmen yang boleh diperiksa selepas kerajaan dibentuk. Jika mandat diminta atas nama rakyat, perubahan susunan kuasa juga mesti dijelaskan kepada rakyat.

Kepercayaan memerlukan ketekalan antara alasan ketika berkempen dengan tindakan setelah memperoleh jawatan.

Hala tuju politik Malaysia bergantung pada cara keanjalan ini digunakan. Ia boleh membuka ruang rundingan dasar yang matang atau mengukuhkan kebiasaan menukar rakan demi mengekalkan kuasa.

Setelah parti menukar haluan dan kuasa bertukar tangan, apakah yang berubah untuk rakyat? Jawapannya menentukan sama ada PRN Melaka mengembalikan politik kepada pembangunan atau sebaliknya membangunkan politiking yang lebih parah dengan membuka satu lagi pusingan rundingan kuasa.

Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.