Pengundi kali pertama di Melaka mahu pekerjaan, peluang dan pemimpin jujur

Di Melaka, keterujaan pengundi kali pertama untuk akhirnya menyuarakan pandangan mereka begitu ketara seiring pelbagai jangkaan mereka.
Malah, ada yang meluangkan masa mengkaji latar belakang calon bertanding dan sebahagian pula mempunyai senarai harapan tersendiri.
Tuntutan mereka berbeza-beza — daripada peluang pekerjaan dan pendidikan, sehinggalah ruang bersosial dan beriadah serta aktiviti yang dapat memupuk perpaduan.
Paling penting, mereka mahu wakil rakyat yang benar-benar bekerja demi kepentingan rakyat. Dalam hal ini, sekurang-kurangnya harapan dan jangkaan mereka sama seperti ibu bapa mereka.
Bagi Nurul Atika, 18, peluang untuk akhirnya menentukan siapa yang akan menerajui negerinya disambut dengan penuh keterujaan.
Tetapi, beliau tidak mahu membuat pilihan terburu-buru. “Saya bercadang mengkaji latar belakang calon bertanding dan berbincang dengan rakan yang mengenali mereka sebelum membuat pilihan.”

“Saya mencari seseorang yang mampu menyatukan masyarakat (pelbagai kaum),” katanya kepada FMT.
Nurul juga berharap wakil rakyat yang dipilih kelak akan menganjurkan lebih banyak aktiviti bagi mengeratkan hubungan penduduk setempat, khasnya wanita.
Bagi pelajar matrikulasi yang hanya mahu dikenali Hanini, pilihan raya ini juga berkait rapat persoalan sama ada dia berpeluang membina masa depan di Melaka atau terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di sini supaya golongan muda tidak perlu ke Kuala Lumpur mencari kerja. Perjalanan menaiki bas juga memerlukan kos.”
Ditanya mengenai ciri-ciri calon diingininya, Hanini berkata: “Seseorang yang jujur, bertanggungjawab dan menepati janji.”
Janji ditabur, janji dimungkiri
Seperti dijangkakan, bukan semua pengundi kali pertama berkongsi keterujaan sama terhadap politik.
Zainal, 18, kurang berminat dengan pilihan raya kerana ahli politik sering gagal menunaikan janji mereka.
“Mereka perlu menunaikan janji yang dibuat semasa pilihan raya. Jika tidak, bagaimana kita boleh mempercayai mereka?” katanya.
Tham, 18, bersikap tidak ambil peduli dan lebih memfokuskan pelajaran serta cita-citanya menjadi perunding kewangan.
“Apabila ahli politik mula menunaikan janji mereka, barulah saya akan memberi perhatian.”
Bagi Arumugam, 19, pendidikan lebih utama daripada politik.
Beliau berharap kerajaan negeri baharu akan memperluaskan akses kepada pendidikan, khasnya bagi golongan muda menghadapi kesukaran memasuki kolej.
“Memang ada kolej di sini, tetapi kerajaan negeri baharu perlu melakukan lebih banyak lagi. Mereka perlu mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan dan memastikan mereka mendapat tempat di kolej.”
Pengundi muda mahu lebih banyak peluang pekerjaan
Bagi pengundi muda lain, pilihan raya bukan hanya tentang peluang pekerjaan dan pendidikan, tetapi juga keperluan menyediakan lebih banyak ruang serta aktiviti yang dapat mengisi masa lapang mereka.
Di Duyong, pengundi kali pertama yang teruja mengundi, Iman, 18, berharap lebih banyak tempat disediakan kepada golongan muda untuk meluangkan masa bersama.
Walaupun Duyong mengalami pembangunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berpendapat pilihan tempat rekreasi untuk golongan muda masih terhad.

“Ada banyak premis makanan. Mungkin kami mahu lebih banyak tempat untuk membeli pakaian dan menjalankan aktiviti sosial. Memang ada beberapa tempat, tetapi tidak banyak.”
Iman juga mahu kemudahan sekolah lebih baik, termasuk bilik darjah dinaik taraf, selain lebih banyak peluang untuk golongan muda bertemu dan bertukar-tukar pandangan mengenai kehidupan seharian serta dasar kerajaan.
Katanya, beliau akan menyokong calon rajin dan telah memberikan sumbangan kepada masyarakat setempat.
Afrina, 18, turut menyuarakan kebimbangan sama dan mahu calon yang mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum menerusi pelbagai aktiviti.

“Selepas habis belajar, kadangkala tiada banyak aktiviti yang boleh dilakukan.”
Mahasiswa yang dikenali sebagai Fikri berkata, walaupun Melaka mempunyai pelbagai kemudahan dan tarikan, kerajaan negeri baharu wajar menganjurkan lebih banyak aktiviti untuk menghimpunkan golongan muda serta mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum.
Melaka mempunyai 687,697 pengundi berdaftar bagi PRN Sabtu ini, meningkat berbanding 495,195 pengundi pada 2021. Kumpulan reformasi pilihan raya, Tindak Malaysia, menganggarkan 35.3% daripada 192,502 pengundi tambahan itu berusia bawah 30 tahun.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.