Undang-undang rimba N Sembilan, tiba masa bertindak ke atas Si Kitol

Satu tragedi yang amat mengguris hati apabila kita menyaksikan pengkhianat terdesak mempercepatkan langkah songsang di bumi Negeri Sembilan.
Kami, Anak Negeri, tidak pernah sama sekali memberi mandat kepada entiti politik tertentu menghina dan menggulingkan Yang Dipertuan Besar yang sah. Dari lubuk hati yang luka berdarah, pengkhianatan ini amat terpahat utuh dan kami tidak akan sesekali memaafkan mereka.
Apakah membuatkan mereka begitu kebal dan angkuh bertindak seolah-olah Negeri Sembilan ini terletak di luar bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan? Sebuah sandiwara politik samseng jalanan bersifat mafia, melanggar Perlembagaan dan undang-undang sesuka hati berlaku secara terang-terangan tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan.
Cubalah singkap perisai yang mereka jadikan sandaran: kononnya restu daripada institusi Undang? Atau sebenarnya ia hanyalah sandiwara rapuh dibina atas batang tubuh individu ketua-ketua luak yang telah pun dilucuthak kedudukannya oleh anak waris luak masing-masing?
Mari kita teliti semula batang tubuh yang menjadi paksi kepada gerakan haram ini: lihatlah ke Sungai Ujong, di mana kemelut dalaman menyaksikan individu terbabit berdepan 33 pertuduhan merangkumi undang-undang sivil, kesalahan syariah, serta pelanggaran Adat Perpatih termasuklah terhadap Ibu Soko sendiri, ditambah pula meminda dokumen sijil nikah melalui pemalsuan rekod rasmi.
Lihat pula ke Jelebu, memegang gelaran kononnya Sultan Jelebu, namun bertahun-tahun dibelenggu kontroversi adat dan undang-undang yang meruncing dengan luak sendiri. Pandanglah ke Rembau pula, di mana kepimpinannya ditolak oleh luak sendiri, dicemari isu salasilah (kesilapan benih) dan tidak pernah diwartakan sama sekali.
Justeru, Anak Negeri dengan tegas menggesa pihak media berhenti mengiktiraf individu-individu ini sebagai Undang Yang Empat kerana tiga daripada mereka hanyalah mantan ketua luak yang telah dilucuthak jawatan.
Sebagai tanda menjunjung tinggi kedaulatan Dewan Keadilan dan Undang (DKU)—badan tertinggi mutlak yang berkuasa ke atas Adat Negeri Sembilan—pihak media wajib membetulkan realiti perundangan ini dalam laporan mereka. Lantaran mereka bukanlah ketua luak yang sah di bawah ketetapan DKU, sebarang pemberitaan terus-menerus mengelirukan bukan sahaja bertentangan hukum adat, malah boleh dianggap sebagai menghina mahkamah di tengah-tengah proses perundangan sedang berjalan!
Kini, di atas krisis ciptaan kosong tanpa secalit pun asas keabsahan, entiti politik bersama bekas ketua-ketua luak ini seakan samseng jalanan mendaulatkan hukum rimba—menggunakan taktik kotor ala-mafia kononnya atas nama Adat Perpatih—telah membancuh kari tercemar, dan rakyat Negeri Sembilan pula dipaksa menelannya bulat-bulat.
Sanggupkah kerajaan persekutuan berpeluk tubuh membisu melihat kemungkaran ini? Jika mereka bertindak seperti samseng jalanan, adakah mereka kebal daripada undang-undang negara? Kari rosak akibat kelapa busuk tetap menjadi kari yang tidak layak dimakan, tidak kira betapa terdesaknya anda cuba merangka naratifnya. Apabila pegawai kerajaan berintegriti cuba menegakkan kebenaran, samseng jalanan semudah itu cuba menggantung tugas mereka.
Saksikanlah betapa berbakatnya menteri besar dalam episod hipokrasi dan penderhakaan ini, di mana tiada apa yang dapat menghalangnya sebagai pelaksana utama kepada agenda songsang bekas ketua luak dan takhta yang palsu. Siapa sangka individu dari Luak Tanah Mengandung sanggup mengheret maruah bangsanya sendiri ke lembah kehinaan yang paling parah demi sebuah kekuasaan?
Sekarang tergamak pula mereka mempamerkan taat setia kepada takhta palsu yang diangkat secara haram? Di manakah taring penguatkuasaan kerajaan persekutuan?
Tidak pernah sama sekali dalam sejarah Adat Perpatih, Yang Dipertuan Besar ditabalkan dalam kalangan individu yang bukan daripada kalangan Putera Yang Empat, apatah lagi melantik Yang Dipertuan Besar baharu ketika Yang Dipertuan Besar yang sah masih bersemayam—ini bukan sekadar penderhakaan, malah kebankrapan akhlak paling hina dilakukan sekumpulan badut bertopengkan kuasa, yang tidak berapa lama dahulu melafazkan sumpah taat setia kepada Yang Dipertuan Besar.
Sementara itu, para exco dengan angkuhnya terus mengingkari titah diraja, meneruskan urusan seperti biasa—sebuah cerminan jelas sifat pengkhianat sejati. Mereka dengan selamba cuba menggantung tugas penasihat undang-undang negeri dan setiausaha kerajaan negeri mengikut selera nafsu kuasa sendiri.
Entiti politik selama ini menjerit kononnya mempertahankan maruah Raja-Raja Melayu rupa-rupanya ialah juara kepada segala hipokrasi di muka bumi ini.
Benarlah kata pepatah zaman-berzaman: jauh sebelum penjajahan Portugis merobek Melaka, bahaya terbesar tidak pernah datang daripada musuh luar, sebaliknya pengkhianat dalam selimut dan tali barut sebangsa yang merancang kehancuran dari dalam—membuktikan bahawa roh Si Kitol masih segar meresap dalam kalangan kita sendiri.
Wahai seluruh anak waris Biduanda di Negeri Sembilan: adakah ini hadiah yang mahu anda wariskan kepada seluruh rakyat jelata negeri ini? Sebelum terlambat, hentikan segera perlakuan individu-individu tertentu dalam kalangan luak anda sendiri daripada terus meranapkan negeri bertuah kita.
Amat membingungkan apabila jentera kerajaan persekutuan terus membisu dan melengahkan masa, biarpun batas-batas Perlembagaan telah dilanggar berkali-kali.
Adakah kita sudah kehilangan taring integriti? Tindakan tegas mesti segera diheret ke muka pengadilan—sama ada atas pertuduhan menghina mahkamah, tekanan terancang terhadap penjawat awam, Akta Hasutan, dan paling utama kesalahan berat terhadap Yang Dipertuan Besar atau Raja Melayu di bawah Seksyen 121B Kanun Keseksaan.
Akhirnya, keharu-biruan dan sejarah hitam ini tidak boleh diletakkan di bahu rakyat; ia mesti dipikul kerajaan persekutuan yang gagal mempertahankan kedaulatan Perlembagaan dan undang-undang di bumi Negeri Sembilan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.