Sikap PAS beri laluan perkukuh peluang Zahid jadi PM, kata penganalisis

Peluang Presiden Umno Zahid Hamidi menjadi perdana menteri boleh bertambah kukuh sekiranya PAS terus memainkan peranan sebagai rakan sokongan dalam kerjasama lebih luas dengan Barisan Nasional (BN) yang berjaya membentuk kerajaan selepas PRU16, kata seorang penganalisis.
Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata Umno pasti mahu menerajui kerajaan seterusnya dan tidak mungkin mengetepikan hasrat itu semata-mata kerana PAS mengemukakan calon perdana menterinya sendiri.
“Pada akhirnya, ia bergantung kepada parti mana yang lebih dominan,” katanya kepada FMT.

Walaupun PAS kini parti tunggal dengan jumlah kerusi terbanyak di Parlimen, Mazlan berkata kesediaannya memainkan peranan sokongan dalam beberapa kerjasama pilihan raya boleh mengukuhkan lagi hasrat Umno untuk menerajui Putrajaya.
Di Johor, BN menang dengan selesa dengan sokongan tidak rasmi PAS walaupun kedua-dua pihak menegaskan tiada pakatan pilihan raya antara BN dan Perikatan Nasional (PN). PAS hanya bertanding di 11 daripada 56 kerusi dan meminta penyokongnya menyokong calon BN di kawasan yang tidak ditandingi PN.
Menjelang PRN itu, Presiden PAS Hadi Awang turut menawarkan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan BN sekiranya gabungan berkenaan gagal memperoleh majoriti, tanpa menuntut jawatan menteri besar atau kerusi exco.
Kerjasama itu menjadi lebih tersusun di Negeri Sembilan apabila BN bertanding di 25 kerusi manakala PN di baki 11 kerusi menerusi pembahagian kerusi.
Kedua-duanya memenangi 25 daripada 36 kerusi pada PRN 1 Ogos lalu, dengan BN memperoleh 18 kerusi termasuk 16 dimenangi Umno, manakala PN meraih tujuh kerusi iaitu empat oleh PAS dan tiga oleh Wawasan.
Bagi PRN Melaka akan datang, Zahid yang juga pengerusi BN mengumumkan gabungan itu akan bertanding 21 kerusi, manakala PAS dan sekutunya bertanding di baki tujuh kerusi.
Ketegasan BN mempertahankan semua kerusi DUN berkenaan dibuat walaupun gabungan itu gagal memenangi mana-mana daripada enam kerusi Parlimen di Melaka pada PRU15 pada 2022.
Mazlan berkata PAS mungkin perlu menyokong Zahid sebagai perdana menteri sekiranya kerjasama mereka memperoleh majoriti di Parlimen pada PRU16 dan Umno memenangi lebih banyak kerusi berbanding PAS.
Sokongan PAS mungkin belum cukup buat Hamzah
Mazlan berkata selain Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, PAS juga boleh mempertimbangkan Presiden Wawasan Hamzah Zainudin sebagai calon perdana menteri.
Bagaimanapun, katanya, keterbukaan Umno untuk bekerjasama dengan PAS tidak bermakna parti itu bersedia menyokong Hamzah bagi jawatan tertinggi kerajaan.
“Umno tidak akan sesekali menyerahkan jawatan perdana menteri kepada parti serpihan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting tidak menolak kemungkinan Hamzah muncul sebagai pilihan praktikal sekiranya berlaku kebuntuan dalam menentukan calon kepimpinan.
Namun, beliau mengingatkan kesediaan PAS bekerjasama dengan Hamzah tidak semestinya bermakna parti itu akan menyokongnya sebagai perdana menteri.
“Hamzah perlu menunjukkan pengalaman beliau sebagai menteri diterjemahkan kepada pencapaian yang boleh diukur, dan sokongan PAS terhadapnya bukan sekadar kerjasama sementara atas kepentingan politik,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.