Asyraf ulangi janji BN takkan tebuk atap, tukar PM

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mengulangi janji Barisan Nasional (BN) tidak akan ‘menebuk atap’ untuk menjatuhkan kerajaan atau Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana lebih baik mandat dikembalikan kepada rakyat menerusi pembubaran Parlimen jika garis merah dan syarat pembentukan kerajaan perpaduan tidak lagi dihormati.
Beliau berkata, pendirian itu selari ketegasan Presidennya, Zahid Hamidi, yang berulang kali menegaskan BN tidak mahu melakukan gerakan ‘tebuk atap’ atau menukar perdana menteri.
Katanya, kepimpinan DAP perlu kembali menghayati dua perjanjian penting, iaitu perjanjian BN dan Pakatan Harapan (PH) serta pembentukan kerajaan perpaduan yang diwujudkan atas titah Yang di-Pertuan Agong.
Jelasnya, perjanjian itu menetapkan beberapa parameter dan garis panduan perlu dipatuhi semua pihak, termasuk tidak mempersendakan institusi raja Melayu, Agong, agama Islam serta keistimewaan orang Melayu.
“Kalau mereka mula merasakan tidak boleh lagi berpegang kepada syarat-syarat ini, maka dengan sendirinya perjanjian itu akan terbatal. Apabila terbatal, secara gentleman kita serahkan semula mandat itu kepada rakyat,” katanya selepas ceramah Pentas Grand Finale BN dan Perikatan Nasional sempena PRN Melaka di Bukit Katil.
“Jangan menyusahkan rakyat dengan polemik berterusan yang menyebabkan kerajaan tidak stabil. Kita tidak mahu tebuk atap. Tidak ada pertukaran perdana menteri. Apa yang kita mahu ialah menyerahkan semula mandat ini kepada rakyat.”
Beliau mengulas gesaan Pengerusi DAP, Gobind Singh, supaya Zahid meletak jawatan timbalan perdana menteri, jika tidak lagi yakin dengan Anwar.
Sementara itu, Presiden PAS, Hadi Awang menyeru penyokong parti itu mengundi calon BN, termasuk MCA dan Gerakan yang bertanding mewakili PN pada PRN esok.
Menurutnya, sokongan itu penting bagi memastikan perpaduan antara parti komponen BN-PN untuk menyelamatkan negara daripada perpecahan politik dan ketegangan kaum.
“Kita kena bersatu atas nama kemanusiaan. Orang Melayu memimpin bersama orang bukan Islam tidak ekstrem. Bersama dalam negara bermasyarakat,” katanya yang memberi amaran tragedi 13 Mei mungkin berulang jika perpaduan masyarakat tidak dipelihara.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.