Ditawar sertai politik, Ayob Khan belum buat keputusan

Bekas timbalan ketua polis negara, Ayob Khan Mydin Pitchay menerima tawaran untuk menyertai arena politik, tetapi belum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Beliau dipetik Bernama berkata, pertimbangan utama sama ada pembabitannya dalam politik akan memberi ruang kepadanya untuk melakukan perubahan atau sekadar terpaksa mengikut arus dan arahan pemimpin parti.
“Kalau saya terpaksa ikut arus, lebih baik saya tidak pergi politik. Alhamdulillah di mana saya berada, walaupun mungkin ada sikit kekangan, tapi saya masih boleh buat,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Di Sebalik Lencana: Kisah dan Legasi Tan Sri Ayob Khan’ terbitan Bernama TV malam tadi.
Beliau yang bersara wajib pada 27 Julai lalu selepas menabur bakti hampir 35 tahun bersama pasukan polis menegaskan, usaha memerangi rasuah dan memperkasakan integriti secara menyeluruh memerlukan kehendak politik teguh bermula daripada peringkat pucuk pimpinan tertinggi.
Jelasnya, kepimpinan atasan harus menunjukkan teladan dan ketegasan nyata kerana sebarang bentuk transformasi organisasi hanya akan berjaya sekiranya pihak atasan sendiri memberikan isyarat jelas tanpa kompromi terhadap penyelewengan.
Beliau turut mengingatkan budaya tolak ansur atau menutup kesalahan pegawai dan anggota hanya menggalakkan lebih banyak salah laku kerana tiada siapa kebal daripada undang-undang tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Tegasnya, isu rasuah dan integriti tidak patut dianggap ‘rahsia dalaman’ yang perlu disembunyikan.
“Kalau kita tidak mengakui masalah yang ada dalam agensi kita, maknanya kita menuju kehancuran, kita bukan bergerak ke hadapan, tetapi ke belakang. Begitu juga dalam keadaan negara kita, kalau kita tidak buat perubahan, kita akan ke belakang, negara lain bergerak depan.”
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.