Malaysia pertimbang peroleh peluru berpandu BrahMos, kata Anwar

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia sedang meneroka kemungkinan memperoleh sistem peluru berpandu udara ke permukaan BrahMos India.
Jelasnya, perbincangan itu masih diadakan dan tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.
Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara itu dibuat semasa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, namun pihak yang berhak membuat keputusan adalah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“(Kami) telah berbincang, namun lazimnya kedudukan saya adalah melibatkan jabatan atau agensi berkenaan, mereka yang mempunyai kepakaran dalam tentera udara, mereka sepatutnya meneruskan perbincangan.
“Mereka telah mengadakan perbincangan awal dan saya memberitahu Perdana Menteri Modi yang saya sangat menyokong kerana hubungan ini dibina atas kepercayaan dan kami ingin mengukuhkannya dalam semua bidang,” katanya dalam temu bual dengan NDTV India.
Anwar yang juga menteri kewangan mengakui keupayaan pertahanan India.
BrahMos merupakan peluru berpandu krus supersonik berkuasa ramjet jarak jauh yang boleh dilancarkan dari kapal selam, kapal, pesawat pejuang atau pelancar mudah alih.
Ia merupakan usaha sama antara Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO) India serta NPO Mashinostroyeniya Persekutuan Rusia, yang bersama membentuk BrahMos Aerospace.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.